Mahu dapat tenaga akhirnya ketagih dadah

Mahu dapat tenaga akhirnya ketagih dadah

HUZAIRI ketika menceritakan pengalamannya yang terjebak dengan najis dadah ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, Nor Ainna Hamzah di Puspen Jelebu, baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang pereka grafik tidak menyangka niatnya yang mahu mendapat ‘lebih tenaga’ menerusi pengambilan dadah untuk menjaga ibunya yang terlantar sakit sejak 10 tahun lalu, membawa padah buat dirinya.

Huzairi yang kini menjengah usia pertengahan 40-an berkata, setelah ibunya meninggal dunia dua tahun lalu pada usia 80-an akibat sakit tua, dia menjadi ke­tagihan dengan dadah dan tidak dapat menghentikannya malah lebih teruk lagi mengambilnya setiap hari.

“Hari-hari saya perlukan sya­bu, saya belanja RM30 untuk dadah setiap hari. Dahulunya apabila saya menjaga emak, sa­ya boleh berjaga lebih masa ser­ta lebih kuat, saya jaga emak de­ngan baik, segar sahaja badan sa­ya rasakan.

“Namun selepas emak me­ninggal dunia, saya sudah jadi ketagih dan perlu ambil dadah setiap hari. Itulah yang menjadi titik hitam dalam hidup saya bila ditangkap pada bulan Februari tahun lalu ketika berada di rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, di sini baru-baru ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik yang berasal dari Klang, Selangor itu turut memberita­hu, pada mulanya dia berasa bimbang untuk menjalani ‘hukuman’ di Puspen Jelebu kerana menyangkakan persekitaran ter­sebut tidak ubah seperti penjara dan terkurung.

“Ini memang pandangan ma­syarakat yang tidak boleh kita ubah, namun apabila sudah masuk ke sini memang rasa sa­ngat berbeza kerana kita dianggap seperti keluarga dan diberikan galakkan untuk mengamalkan sikap yang positif.

“Daripada sekecil-kecil didikan asas iaitu menjaga kebersihan sehinggalah menjaga solat, saya sedikit demi sedikit dapat melupakan rasa terhadap dadah, semuanya melalui modul i-Pulih,” katanya lagi yang belum berkahwin.

Huzairi memberitahu, keluarganya juga memberikan sokongan melalui proses pemulihan di situ malah pada sambutan hari raya pada tahun lalu, kese­mua enam adik-beradiknya datang menziarahinya.

“Mereka mahu lihat saya pulih daripada dadah dan kembali menjalani kehidupan yang lebih baik dengan kebolehan rekaan grafik saya,” katanya yang merupakan bekas penuntut salah sebuah universiti awam di negara ini.

Dalam pada itu, katanya, pe­ngalaman menyambut hari raya tahun lalu itu juga begitu berlainan buatnya kerana segala aktviti dilakukan dalam pusat pemulihan tersebut.

Sementara itu, bagi seorang bekas pengawal peribadi yang hanya ingin dikenali sebagai Zaidi, 30-an pula, dia sangat merindukan ibu, bapa serta adik-beradiknya yang lain setelah dimasukkan ke dalam pusat tersebut pada 16 Mac tahun lalu.

“Saya rasa kecewa dengan per­buatan saya sendiri, saya pa­da waktu itu baru sahaja seminggu ambil dadah kerana mahu lari daripada masalah rumah tangga dengan isteri, saya tertekan kerana dalam proses penceraian.

“Saya pilih jalan salah yang sepatutnya saya selamatkan rumah tangga tetapi terjebak pula dengan dadah,” katanya yang ki­ni merupakan ketua pengawas di Puspen Jelebu.

Menurutnya yang merupakan anak sulung, ketika ditangkap, dia berada di rumah datuknya dan terpaksa ikut sama menjalani ujian urin selain bapa saudara di dalam rumah yang sama.

“Saya anggap apa yang terjadi ini adalah cara Allah mahu menyelamatkan saya daripada terjebak terus sebagai penagih dadah,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Pengarah Puspen Jelebu, Norasiken Ahmad berkata, pendekatan kekeluargaan yang diamalkan memberi hasil yang positif terhadap perubahan sikap klien di situ.

“Mula-mula masuk mereka memang marah-marah, mereka rasa remeh serta memalukan. Macam suruh jaga kebersihan kerana bagi mereka perkara itu tidak perlu diajar kerana sudah tahu sejak kecil.

“Namun mereka akhirnya sedar kebersihan itu adalah ibadat dan merubah mereka menjadi lebih baik serta mengutamakan solat,” katanya lagi yang memberitahu Puspen Jelebu mampu menampung 350 orang klien pada satu-satu masa itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN