PEMINAT pastinya tumpang gembira melihat keharmonian perkahwinan yang dikecapi Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, sekarang ini selepas episod pergolakan rumah tangga yang mereka lalui tahun lepas.
Apa pun pasangan suami isteri itu telah membuktikan bahawa perceraian bukan satu-satunya solusi terhadap segala masalah yang dihadapi dalam sesebuah institusi kekeluargaan.Terbentang jalan lain yang lebih sejahtera dan terbaik tanpa perlu suami isteri itu runtuhkan bahtera yang telah dibina.
Memanglah, menyelamatkan rumah tangga tidak mudah. Diana dan Farid sendiri mengakui ia adalah proses yang sukar.
Namun berpeganglah kepada pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Contohilah usaha pasangan ini dalam menyelamatkan bahtera perkahwinan yang telah mereka bina lebih sedekad lamanya.
“Jujurnya, waktu itu saya dan Farid sudah sedia bawa haluan masing-masing. Tapi dalam diri kami, masih berbaki semangat untuk cuba (selamatkan perkahwinan) selepas melihat keadaan anak-anak yang berada dalam kekeliruan.
“Kami ambil pendekatan untuk bermula dari kosong. Prosesnya tak mudah, ambil masa berbulan untuk mencari rentak.
“Tempoh itu adalah sukar. Kami luahkan segala isi hati, berbincang dan berterus terang. Berlaku jujur menyatakan tahap kemampuan masing-masing dalam melunaskan kehendak sesama kami.
“Biarlah bertengkar pun tidak mengapa, asalkan kami temui solusinya. Di sini saya lihat pentingnya komunikasi dan berlaku jujur terhadap pasangan masing-masing. Itulah ‘resipi’ yang menyelamatkan perkahwinan kami,” katanya yang ditemui sewaktu majlis pengumuman selaku jurucakap produk pelangsingan badan, Zenso baru-baru ini.
Pelakon filem Imaginur itu sah bergelar isteri kepada Farid pada tiga November 2012. Pasangan itu, yang dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora mengejutkan peminat apabila bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos tahun lepas.
Namun Diana dan Farid akhirnya membuat keputusan untuk rujuk semula bagi menyelamatkan perkahwinan mereka.
Kata Diana, peristiwa yang dilaluinya itu telah membuka mata dia dan Farid tentang banyak perkara, antaranya menghargai perkara-perkara baik yang dikurniakan Allah S.W.T kepada mereka.
“Saya dan Farid adalah dua individu yang berbeza. Sekarang saya muhasabah diri, kalau dulu mahu terlalu menjadi isteri yang dominan. Tapi sekarang lebih memberi ruang kepada Farid untuk membuat keputusan.
“Kami beruntung, kerana tak semua diberi rezeki untuk bercinta atau bertemu jodoh yang baik. Disebabkan itu kami hargai segala kurniaan Allah kepada kami.
“Dan rujuk ini pula adalah satu risiko, tak semua pasangan yang melakukannya akan mendapat kemanisan dan kebahagiaan dengan jalan tersebut. Tapi kami lega kerana sekurang-kurangnya kami cuba selamatkan apa yang kami miliki,” kongsinya.
KETENTUAN YANG SUDAH TERTULIS
Mengulas tentang perkara sama, Farid, tidak menolak kebahagiaan yang dicapai hari ini bersama isteri dan anak-anaknya adalah ketentuan yang telah ditetapkan yang maha Esa.
Disebabkan itu dia bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana telah mengeluarkan dia dan isterinya daripada masalah yang hampir meranapkan perkahwinan mereka.
“Apa yang kami lalui adalah qada dan qadar yang ditentukan. Terus terang saya katakan, awal dulu memang tak nampak jalan atau pintu kepada permasalahan yang kami hadapi. Saya cuma ada kuncinya sahaja.
“Dan waktu itu juga kami rujuk semula kepada agama. Fahami banyak perkara termasuk kenapa kami berkahwin, apa gunanya akad dan nikah, kenapa kena bertanggungjawab dan sebagainya. Fahamkan semula semua itu.
“Kemudian barulah kami dapatkan titik penyelesaian. Kami saling mengingatkan kepada diri kami sendiri, hidup di dunia ini tak lama, masa semakin mencemburui.
“Jadi kami serahkan semuanya kepada ketentuan Allah. Berserah 100 peratus untuk kebaikan,” jelasnya.
Habis –