PYONGYANG: Korea Utara menuduh Amerika Syarikat (AS) mempolitikkan isu hak asasi manusia di negara Asia Timur yang dilihat sebagai tindakan konspirasi politik.
Media Kerajaan KCNA, memetik Jurucakap Kementerian Luar yang memaklumkan Pyongyang akan membuat pilihan tegas bagi melindungi kedaulatan dan keselamatan negara itu sebagai tindak balas terhadap Washington yang menggunakan hak asasi manusia sebagai alat pencerobohan anti-Korea Utara.
“Kami akan melaksanakan misi kritikal seperti yang dirancang bagi meningkatkan keupayaan peninjauan angkasa untuk memastikan keselamatan negara,” katanya lapor Reuters.
Laporan tahunan minggu ini oleh Jabatan Negara menggambarkan isu penting hak asasi manusia di Korea Utara.
Laporan itu membongkarkan tentang ‘pembunuhan sewenang-wenangnya yang menyalahi undang-undang termasuk kehilangan secara paksa, penyeksaan, hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah oleh pihak berkuasa’.
Korea Utara pula mengkritik AS selepas menggesa negara itu menghentikan pelancaran peluru berpandu dan roket lain kerana melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).