Jokowi sedia serah tugas pada Prabowo - Utusan Malaysia

Jokowi sedia serah tugas pada Prabowo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bersedia dengan proses peralihan kepemimpinan kepada calon Presiden, Prabowo Subianto susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang mengesahkan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden, baru-baru ini. 

Penyelaras Kakitangan Khas Presiden, Ari Dwipayana berkata, kerajaan bersedia dan memberikan sokongan penuh terhadap proses peralihan pentadbiran kepada Presiden dan Timbalan Presiden. 

Beliau berkata, Jokowi juga menghormati keputusan mahkamah berhubung pertikaian pemilihan Presiden kerana ia adalah jawapan muktamad. 

“Selain bersiap sedia menghadapi peralihan Presiden, kerajaan turut komited melaksanakan semua agenda sehingga tamat penggal Presiden Jokowi pada Oktober tahun ini,” katanya lapor Antara. 

Isnin lalu, Mahkamah Perlembagaan menolak sepenuhnya petisyen yang mencabar keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia yang difailkan oleh pasangan calon, Anies Baswedan -Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud. 

Keputusan pertikaian itu dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Suhartoyo selepas sesi perbicaraan dan perbincangan hakim berakhir, 21 April lalu. 

Mahkamah memutuskan cabaran Anies-Muhaimin dan Ganjar-Mahfud terhadap keputusan pilihan raya, yang bertujuan untuk membatalkan kemenangan Prabowo dan Gibran Rakabuming Raka, adalah tidak munasabah di sisi undang-undang.

Lima daripada lapan hakim memutuskan untuk menentang cabaran tersebut, dan tiga hakim iaitu Saldi Isra, Enny Nurbaningsih, dan Arief Hidayat menawarkan pendapat yang berbeza. 

Hakim Anwar Usman, bapa saudara Gibran, tidak mengambil bahagian dalam keputusan itu kerana bimbang konflik kepentingan.

Kedua-dua plaintif mendesak mahkamah membatalkan Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) No. 360 Tahun 2024, yang mengisytiharkan Prabowo dan Gibran sebagai calon dengan undian tertinggi dalam pemilihan presiden, baru-baru ini.

Plaintif turut meminta mahkamah membatalkan kelayakan Prabowo-Gibran dan mengadakan pilihan raya semula tanpa melibatkan gandingan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya