BAITULMUQADDIS: Israel mengundurkan lebih ramai tentera dari selatan Gaza, meninggalkan hanya satu briged pasukan kerana pihaknya dan Hamas sudah pun menghantar pasukan ke Mesir untuk rundingan baharu mengenai potensi gencatan senjata dalam konflik yang kini mencecah tujuh bulan.
Israel mengurangkan bilangan tenteranya di Gaza sejak awal tahun ini selain berusaha meredakan tekanan dengan memperbaiki keadaan kemanusiaan terutamanya selepas pembunuhan tujuh pekerja bantuan kemanusiaan minggu lalu.
TETAP ISYTIHAR PERANG
Bagaimanapun, jurucakap tentera tidak memberikan butiran mengenai sebab mengundurkan tentera atau jumlah tentera yang terlibat.
Tetapi, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, tenteranya akan bersiap sedia untuk melaksanakan operasi masa depan di Gaza.
Gallant berkata, Israel akan meneruskan peperangan sehingga Hamas tidak lagi mengawal Gaza atau mengancam Israel sebagai kumpulan tentera.
“Pasukan sedang keluar dan bersiap untuk misi seterusnya,” kata Gallant pada pertemuan dengan pegawai tentera dari pejabatnya.
Kedua-dua Israel dan Hamas, gerakan yang mengawal Gaza mengesahkan mereka menghantar delegasi ke Mesir, kelmarin.
Hamas mahu sebarang perjanjian untuk menamatkan perang dan pengunduran tentera Israel manakala Israel berkata, selepas sebarang gencatan senjata, ia akan menggulingkan Hamas yang bersumpah untuk memusnahkannya.
TIADA PERJANJIAN TANPA BEBAS TEBUSAN
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tidak akan ada perjanjian tanpa pembebasan tebusan dan beliau tidak akan menyerah kepada tekanan antarabangsa.
Hamas berkata, perjanjian mesti merangkumi kebebasan bergerak penduduk di seluruh Gaza.
Lebih 250 tebusan dirampas dan kira-kira 1,200 orang terbunuh semasa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, menurut pengiraan Israel.
Lebih 33,100 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.
Kira-kira 130 tebusan masih ditahan di Gaza.
ISRAEL MAHU HAPUS HAMAS
Ditanya mengenai pengunduran tentera dari kawasan itu, Ketua Staf Am Israel, Herzi Halevi memberitahu pemberita bahawa tentera sedang menyesuaikan kaedah perangnya yang boleh menjadi panjang.
Halevi berkata, pencerobohan ke kawasan Rafah, berhampiran sempadan Mesir diperlukan untuk menghapuskan Hamas, tetapi, kuasa asing yang cemas berkata, ia boleh menyebabkan kematian yang tidak boleh diterima ke atas orang awam, dengan lebih sejuta orang berlindung di sana.
Israel berkata, ia akan memindahkan orang awam sebelum melancarkan pencerobohan.
ISRAEL BERUNDUR
Penduduk Palestin di bandar selatan Gaza iaitu Khan Younis berkata, mereka melihat tentera Israel meninggalkan pusat bandar dan berundur ke daerah timur.
Malah, pakar perubatan berkata, mereka menemukan sekurang-kurangnya 12 mayat Palestin di kawasan itu.
Bahkan, beberapa penduduk dari Khan Younis yang berlindung di Rafah mula kembali ke kawasan kejiranan mereka selepas tentera Israel berundur.
Penduduk Gaza, Imad Joudat, 55, yang tinggal bersama lapan anggota keluarganya di sebuah khemah di Rafah berkata, pengunduran tentera Israel amat menggembirakannya.
“Nampaknya pada penghujungnya, ia mungkin menjadi Hari Raya Aidilfitri yang menggembirakan.
“Pengunduran pasukan tentera dari Khan Younis, Amerika Syarikat (AS) menekan Israel selepas beberapa warga asing terbunuh manakala Mesir mengadakan pusingan besar rundingan dengan AS, Israel, Hamas dan Qatar.
“Kali ini, kami berharap,” kata Imad kepada Reuters melalui aplikasi sembang.
Israel berada di bawah tekanan yang meningkat dari AS dengan Presidennya, Joe Biden menuntut agar ia memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza dan berusaha ke arah gencatan senjata selain menyifatkan sokongan AS boleh bergantung pada keputusan itu. –AGENSI