SELANGOR: Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa ‘meludah ke langit’ selepas mendakwa Kerajaan Perpaduan gagal menangani kenaikan harga barang.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Yaakob Sapari berkata, Kerajaan Perpaduan tidak gagal dalam menangani isu kenaikan tersebut.
Menurut beliau, harga barang terutama barangan keperluan jauh lebih murah berbanding semasa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mentadbir negara.
“Saya rasa dia (Muhyiddin) macam meludah ke langit dan jatuh ke muka sendiri. Realitinya pada hari ini barang di pasaran jauh lebih murah berbanding ketika dia menjadi Perdana Menteri.
“Dia sebut kerajaan gagal, kalau kita gagal. Apa yang gagalnya?” katanya semasa sidang media di Bilik Gerakan Utama, di sini hari ini
Terdahulu, media melaporkan, subsidi, kos sara hidup, pendidikan dan infrastruktur antara ‘bahan’ yang akan digunakan PN untuk menarik pengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Muhyiddin berkata, jentera PN akan mula mengunjungi rakyat dan memberi penjelasan mengenai isu yang didakwanya gagal ditangani oleh Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Yaakob berkata, sokongan orang Melayu terhadap PH didapati terus meningkat.
“Dulu kita dapati kira-kira 30 peratus undi orang Melayu tetapi tinjauan terakhir kami dapati ia sudah meningkat kepada 42 peratus.
“Kita tidak mahu digambarkan PH ini hanya (mengharapkan) sokongan daripada orang bukan Melayu,” katanya. – UTUSAN