PETALING JAYA: Pujian wajar diberikan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) apabila berjaya memastikan keadaan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) terlepas daripada berterusan menjadi kritikan peminat bola sepak tanah air.
Padang stadium nasional itu berada dalam keadan baik meskipun hujan turun sebelum aksi pertunjukkan Battle of The Reds antara Manchester Reds dan Liverpool Reds, semalam.
Sepanjang perlawanan tersebut berlangsung, tiada sebarang takungan air di atas permukaan padang malah tiada rumput tercabut ketika kedua-dua pasukan itu beraksi.
Situasi pastinya memberi impak positif kepada peminat yang hadir malah bekas pertahanan Liverpool, Glen Johnson turut memuji keadaan keadaan padang gelanggang keramat Harimau Malaya itu.
“Saya boleh bermain dengan baik dan padang kelihatan baik sahaja. Padang berada dalam keadaan terbaik seperti yang sepatutnya,” kata Johnson yang pernah menyarung jersi The Reds dari 2009 hingga 2015.
Sebelum ini, padang SNBJ menerima kritikan ketika perlawanan Malaysia menentang Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan lalu.
Keadaan permukaan padang SNBJ sentiasa menjadi perhatian memandangkan stadium itu turut digunakan sebagai venue konsert berkapasiti tinggi memandangkan itu adalah cara terbaik bagi menjana sumber pendapatan.
Dalam pada itu, Johnson gembira melihat reaksi penyokong yang hadir ke perlawanan tersebut, menyaksikan Liverpool Reds menang 4-2.
“Penyokong begitu menikmati perlawanan ini dan mereka mempamerkan semangat yang bagus,” ujar bekas pertahanan England itu.-UTUSAN