GAZA: Tentera Israel bertindak ganas apabila melancarkan serangan sehingga meragut nyawa lapan penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak di kem pelarian Nuseirat.
Di kawasan kejiranan sama, seorang bayi perempuan antara empat mangsa terbunuh, lapor agensi berita Wafa.
Tentera Israel juga bertindak mengebom kawasan kediaman lain di kem sama sehingga empat terkorban dan 30 yang lain mengalami kecederaan.
Dalam perkembangan lain, seorang bayi pramatang yang diselamatkan dari rahim ibunya selepas wanita itu terbunuh semasa serangan Israel di Semenanjung Gaza, dilaporkan meninggal dunia selepas beberapa hari ditempatkan dalam inkubator.
Bayi yang dinamakan sebagai Sabreen al-Rouh Jouda menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gaza, Khamis lalu, selepas kondisi kesihatannya semakin merosot.
Petugas perubatan juga gagal menyelamatkan nyawanya, seperti dimaklumkan bapa saudaranya, Rami al-Sheikh Jouda.
Berita kematian itu disahkan oleh Ketua Unit Kecemasan Neonatal, Hospital Emirati, Dr. Mohammad Salama yang bertanggungjawab memantau keadaan bayi itu, di Rafah.
“Dia dilahirkan ketika sistem pernafasannya belum matang dan sistem imun badannya masih lemah. Itu menyebabkan punca kematiannya. Bayi itu mengalami masalah pernafasan yang teruk kerana dilahirkan secara pramatang.
“Saya dan doktor lain cuba menyelamatkan nyawanya, namun tidak berjaya. Bagi saya, secara peribadi ia adalah hari yang sukar dan menyakitkan,” katanya.
Ibu mangsa, Sabreen al-Sakani dikejarkan ke hospital selepas serangan udara Israel terhadap rumahnya di Rafah.
Usia kandungan wanita itu sudah mencecah 30 minggu. Arwah terbunuh bersama suami dan anak perempuannya.
Bayi seberat 1.4 kilogram yang dinamakan sempena nama ibunya diselamatkan menerusi pembedahan secara caesarean.
Jenazah bayi itu dikebumikan bersebelahan kubur bapanya.
Bayi itu antara lebih 14,000 kanak-kanak yang terbunuh akibat serangan tentera Israel di Gaza, 7 Oktober lalu.