LONDON: Arsenal meneruskan pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Tottenham Hotspur, sebentar tadi.
Pada perlawanan derbi utara London, bermain di gelanggang lawan, The Gunners tidak berdepan masalah untuk mendominasi aksi babak pertama.
Anak buah Mikel Arteta membuka tirai jaringan pada menerusi gol sendiri pemain tengah tuan rumah Pierre-Emile Højbjerg pada minit ke-15.
Bukayo Saka menggandakan jaringan buat Arsenal pada minit ke-27 sebelum Kai Havertz memastikan pasukan pelawat selesa mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi gol tujuh minit sebelum memasuki masa rehat.
Bersambung babak kedua, Tottenham masih lagi bertahan sebelum ledakan Cristian Romero memberi satu semangat baharu kepada pasukan tuan rumah.
Gol ini mengubah secara langsung rentak Spurs yang dilihat lebih bersemangat untuk memburu jaringan.
Hasilnya pada minit ke-87 Son Heung-min berjaya merapatkan kedudukan selepas menyempurnakan sepakan penalti.
Begitupun usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan tidak kesampaian meskipun kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang tetapi gagal menemui sentuhan jaringan.
Kemenangan itu meletakkan Arsenal terus memimpin kedudukan teratas liga dengan mengumpul 80 mata namun Manchester City mampu merapat jurang mata kepada perbezaan satu mata jika berjaya melakar kemenangan ke atas Nottingham Forest pada aksi malam ini.-AGENSI