500 ekor ayam habis dijual kurang satu jam - Utusan Malaysia

500 ekor ayam habis dijual kurang satu jam

PENGUNJUNG mengambil kesempatan membeli ayam yang dijual murah pada program Agro Madani @ Peladang Outlet di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 500 ekor ayam segar yang dijual dengan harga murah RM7.60 sekilogram habis dijual dalam tempoh kurang satu jam pada program Agro Madani @ Peladang Outlet Aidilfitri 2024 di sini, hari ini.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu, Hasmila Abas berkata, program yang berlangsung di pekarangan Masjid Jamek Mengadang Baru di sini mula diserbu pengunjung seawal pukul 7 pagi.

Menurutnya, selain ayam, bahan mentah lain yang turut dijual kepada orang ramai ialah 10 tan beras dan 1.2 tan daging lembu segar.

“Alhamdulillah, beras 10 kg sekampit dijual dengan harga RM26 manakala sebanyak 400 kg daging dijual pada harga RM27 untuk 400 pembeli pertama.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan LPP Terengganu berharap program ini dapat meringankan beban orang ramai dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya kepada ketika ditemui selepas melawat tapak gerai usahawan pada program tersebut di sini hari ini.

Sepanjang April, LPP Terengganu telah merancang untuk mengadakan 14 program jualan seumpama itu di semua lapan daerah untuk memastikan lebih ramai penduduk dapat memberi barangan keperluan dengan harga yang lebih murah.

Hasmila berkata, pihaknya menyasarkan 5,000 pengunjung hadir ke setiap program Agro Madani @ Peladang Outlet dengan penyertaan lebih 30 usahawan tempatan.

“Selain itu, sasaran kita hasil jualan pula ialah RM100,000 pada setiap program dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli secara langsung.

“Semua produk yang dijual adalah lebih murah antara 30 hingga 40 peratus berbanding harga pasaran semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu lagi program seumpama itu akan dilaksanakan pada 8 April depan, untuk memudahkan umat Islam mencari bahan mentah dengan harga yang lebih murah sebagai persediaan Aidilfitri.

“Lokasinya ialah di Bukit Payong, Marang dan kita jangka lebih ramai pembeli akan hadir kerana perantau sudah ramai yang balik ke Terengganu, pastinya ibu bapa di kampung ingin menyediakan juadah dan memerlukan bahan mentah yang lebih banyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya