HOUSTON: Ketika kanak-kanak lain menghabiskan cuti sekolah dengan bermain permainan video atau menonton televisyen, lain pula ceritanya dengan tiga kanak-kanak dan remaja lelaki yang memilih untuk merompak bank di Texas.
Lapor Oddity Central, suspek yang berusia 11, 12 dan 16 tahun itu digelar ‘Little Rascals’ berjaya ditangkap selepas didakwa merompak bank Wells Fargo dengan melakukan ugutan.
Pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Houston memaklumkan kanak-kanak itu memberikan nota ugutan kepada juruwang bank, sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki bersama sejumlah wang tunai.
Jelasnya, ketika polis tiba di bank berkenaan, pihaknya terkejut melihat kamera litar tertutup (CCTV) mengenai suspek yang masih terlalu muda.
“Dua suspek tidak menyembunyikan identiti mereka atau memakai sebarang topeng muka dan sudah dikenal pasti oleh ibu bapa mereka,” katanya.
FBI turut menyiarkan gambar suspek susulan rompakan bank pada 14 Mac lalu.
Sekiranya didapati bersalah, kesemua suspek akan ditahan di dalam penjara juvana sehingga berusia 19 tahun.