PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum berhasrat untuk membida hak sebagai tuan rumah Sukan Asia 2038.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keutamaan KBS ketika ini adalah memastikan pembangunan bakat tidak terganggu.
Katanya, beliau mahu pastikan setiap dana yang diterima dibelanjakan untuk program pembangunan bakat secara menyeluruh.
“Dengan adanya program pembangunan bakat, lebih ramai atlet dapat dihantar menyertai pertandingan antarabangsa.
“Tiada guna kita menjadi tuan rumah tetapi atlet kita tidak menang apa-apa. Itu bukan hasrat rakyat Malaysia.
“Sebab itu, bila kerajaan buat keputusan untuk menolak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ramai netizen yang menyokong keputusan ini.
“Jadi, wang yang diperuntukkan lebih baik digunakan untuk pembangunan bakat” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia berminat untuk membida menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038.
Sebelum ini, kerajaan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026.-UTUSAN