PETALING JAYA: Pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari melakar kejutan terbesar dalam kariernya apabila muncul sebagai pemain pertama yang berada di luar kelompok 10 terbaik dunia berjaya menundukkan bintang No. 1 dunia, Nour El Sherbini pada suku akhir Kejohanan Klasik London di London, England, awal pagi tadi.
Anak jati Sungai Petani, Kedah yang menghuni ranking ke-16 dunia itu menewaskan juara dunia tujuh kali dari Mesir menerusi kemenangan straight set 11-9, 11-9 dalam masa 24 minit.
Menerusi format mata baharu, Sivasangari yang baru sahaja diserapkan ke dalam program Fast Track Road To Gold untuk Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat pantas menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut.
Sebagai bukti, pemain berusia 25 tahun itu yang memiliki corak permainan pantas dan daya tahan tinggi mampu mencipta kejutan yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemain yang berada di luar kelompok 10 terbaik dunia ke atas Nour sejak 2015.
Kejayaan tersebut menyaksikan Sivasangari bakal berdepan satu lagi laluan getir menentang pemain No. 4 dunia, Nele Gilis dari Belgium pada separuh akhir, hari ini (kira-kira pukul 11 malam waktu Malaysia).
Gilis mara ke peringkat empat terbaik selepas mengetepikan wakil tuan rumah, Georgina Kennedy yang merupakan pilihan kelima 6-11, 11-6, 11-3 dalam satu lagi suku akhir. – UTUSAN