PETALING JAYA: Penyanyi, Sheila Majid, menafikan khabar angin kononnya terlibat dalam skim pelaburan seperti yang dilaporkan sebuah keratan akhbar palsu.
Sheila meminta orang ramai agar tidak mudah mempercayai artikel bertajuk ‘Bank of Malaysia menyaman Sheila Majid atas kenyataannya dalam rancangan TV secara langsung’ yang mempunyai unsur penipuan.
“Ini adalah berita palsu. Ramai kawan-kawan dan keluarga mengambil berat bertanya saya mengenai artikel ini.
“Jadi, saya ingin memaklumkan untuk sekali ini saja, bahawa ini adalah penipuan. Pertama sekali, tiada Bank of Malaysia di Malaysia.
“Dan saya bukanlah jutawan seperti mana ditulis dalam artikel ini. Kalau saya boleh buat duit berjuta-juta melalui tip itu buat apa saya masih menyanyi? Tolong berhati-hati,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Sheila mengakui tidak begitu terkesan dengan berita tersebut dan berterima kasih kepada peminat yang prihatin.
“Apa pun, saya dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Saya harap, ini dapat menamatkan segala spekulasi berkaitan hantaran palsu ini.
“Terima kasih atas keprihatinan kalian. Selamat menjalankan ibadah puasa,” katanya.