JIKA dilihat dari mata kasar, penampilan, gaya hidup pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan bukan biasa-biasa. Dia tidak pernah ‘kalah’ dari sudut penampilan, semuanya tampak serba serbi mewah.
Lantas wujud juga persepsi dalam fikiran segelintir netizen, adakah wanita berusia 49 tahun itu tidak tahu erti hidup susah. Sejak kecil ditatang dan dilimpahi kemewahan. Sehingga kini, dia masih kaya raya.
Hakikatnya, tidak semua miliki perjalanan indah sejak kecil. Kongsi ibu kepada tiga orang anak itu, dia juga pernah hidup susah. Kehidupannya tidak mewah sejak kecil, bukan seperti yang dianggap ramai.
“Saya bukan lahir-lahir terus kaya. Saya bukan anak orang senang. Ketika arwah bapa meninggal, saya berada di tingkatan tiga. Masih bersekolah, baru umur 15 tahun. Emak pula suri rumah.
“Dia tak pernah bekerja seumur hidupnya. Bila terpaksa besarkan kami adik-beradik, dia buat macam-macam kerja. Dia pernah bekerja di kantin sekolah. Arwah atuklah yang menjaga kami adik beradik.
“Saya pernah hidup di kawasan flat sebelum merasai semua ini. Kesusahan emak bekerja keras membesarkan kami membuatkan saya sehingga sekarang cukup terkesan. Susah macam mana pun, dia tak pernah minta bantuan orang lain,” katanya.
Ujar Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, kehidupannya mula berubah tatkala dia bekerja sebagai pramugari di usia yang cukup muda, 17 tahun dengan mendapat pendapatan bulanan mencecah RM5,000.
“Ketika itu, Tuhan beri saya rezeki lebih. Ada kerja yang punya gaji bulanan. Ketika saya bekerja sebagai pramugari itu juga, saya berkahwin pada usia 20 tahun dengan seorang juruterbang.
“Tetapi jodoh tak panjang. Saya bercerai pada usia 30 tahun. Selepas bercerai saya tiada pekerjaan. Kena turun naik mahkamah pula. Mujurlah saya ada duit simpanan ketika itu hidup.
“Bila menang kes, baru saya bayar kos-kos peguam dan sebagainya. Kenang semula, semua itu mendewasakan dan mematangkan saya. Beri saya semangat untuk tidak cepat mengalah,” ujarnya.
MANDIRI SEORANG WANITA
Terus membuka kisah hidupnya, Che Ta berkata, dia sedar sebagai wanita mandiri, dia tidak boleh lagi berdiam diri. Menjadikan ibu sendiri sebagai idola, dia bangkit dan mula menceburi bidang peragaan dan lakonan selepas bercerai.
Semua itu dilakukan demi kesejahteraan dan hidup anak-anak. Dia tahu, kebergantungan hidup anak-anak adalah padanya. Maka, dia harus melawan apa sahaja cabaran dan onak yang mendatang.
“Nasihat saya, kita kaum wanita juga tidak boleh hidup terlalu bergantung sangat dengan lelaki. Saya sendiri, bila bercerai tak dapat harta apa-pun.
“Selama 10 tahun, saya hidup menjanda sampailah saya berjodoh dengan Zain,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Zain Saidin pada 11 Disember 2013.
Pelakon Diari Ramadan Rafique itu berkongsi kisah hidup dalam sesi talkshow Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sesi tersebut dikendali Ketua Penjenamaan dan Editorial Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dalam program yang berlangsung selama tiga hari di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Tambah Che Ta lagi, seorang wanita akan lebih dihargai dan dihormati lelaki apabila mempunyai pendapatan sendiri.
.
“Sejujurnya, saya juga berlakon pada usia yang agak lewat tapi saya percaya, tidak ada perkara yang tidak terlalu lewat untuk kita mulakan kerana yang penting ada kemahuan.
“Tapi, satu tahap saya terfikir, sampai bila saya nak berlakon? Sebab itu saya buat pelbagai perniagaan. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan, ” katanya.
Sementara itu, melontar pendapat, Mohammed Azman berkata, tunggak sesebuah keluarga adalah golongan wanita, ibu dan suri rumah yang tidak bergaji.
Menurutnya, sebelum ini suri rumah juga tidak ada sebarang perlindungan jika berlaku kemalangan sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka.
“Sebab itu Perkeso memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk melindungi golongan wanita dan suri rumah bawah 55 tahun jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit dengan pelbagai faedah termasuk kematian.
“Kita adalah negara keempat di dunia yang perkenalkan skim sebegini.
“Dengan caruman yang begitu rendah untuk mereka terlindung jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit serta mendapat pelbagai faedah kematian, pencen bulanan dan dialisis,” katanya.
Sementara itu, acara turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 10 artis yang turut menjadi pempamer selama tiga hari program Perkeso Membawa Senyuman. Antaranya Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha, Anne Abdullah, Darling Ngasri, Syanie, Ani Maiyuni, Haleeda, Ayu Damit dan Azza Elite. – UTUSAN