Rakyat Perlis terjerat lagi ‘harapan palsu’ Perlis United

Rakyat Perlis terjerat lagi ‘harapan palsu’ Perlis United

PENYOKONG Perlis yang sebelum ini teruja memenuhi stadium nampak hanya tinggal angan-angan apabila Perlis United FC (PUFC) gagal memperolehi lesen kebangsaan saingan Liga Super 2024/2025.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Harapan tinggi rakyat dan penyokong setia Singa Utara untuk melihat pasukan bola sepak negeri ini kembali bangkit beraksi di pentas utama liga bola sepak negara nampaknya terus tinggal angan-angan.

Perlis United FC (PUFC) yang menjadi harapan untuk mewakili negeri ini kembali beraksi di pentas Liga Super selepas lebih 13 tahun gagal memperolehi lesen kebangsaan saingan Liga Super 2024/2025 sekali gus mengecewakan penyokong bola sepak di negeri ini.

Perlis United gagal memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) M3 Amateur Football League (AFL) pada 7 Mac lalu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply di dalam status Facebooknya secara terbuka meminta maaf kepada semua peminat bola sepak Perlis selepas menyatakan rayuan mereka gagal.

“Maafkan kami semua peminat bola sepak Perlis. Rayuan kami untuk dapat lanjutan sedikit masa lagi gagal kali ni. Kita akan cuba lagi buat rayuan terakhir,” katanya.

Sebelum ini, pengurusan Perlis United mengakui bahawa ada penaja yang sudah menarik diri daripada menaja kelab tersebut namun masih ada juga penaja yang kini berada pada fasa terakhir perbincangan berhubung penajaan terhadap kelab berkenaan.

Perlis United sebelum itu memberi jaminan untuk sedia melaksanakan apa jua syarat tambahan yang diarahkan Malaysian Football League (MFL) dalam memastikan impian kelab tersebut dapat mengisi slot ke-14 menyertai Liga Super 2024/2025.

Dalam pada itu, kegagalan Perlis ke liga utama negara dengan penyokong diberi ‘harapan palsu’ bukan perkara baharu kerana pada tahun 2018 lalu, Singa Utara juga diwar-warkan kembali bangkit apabila membawa masuk ramai pemain bintang namun hanya sekerat jalan sebelum disingkir penyertaan.

Kali ini, situasi juga tampak serupa apabila penyokong sudah mula teruja termasuk kononnya ada tajaan berpontensi sehingga RM25 juta namun akhirnya hanya sekadar ‘indah khabar dari rupa’ dengan penyokong terus dibawa berangan-angan kononnya untuk kembali memenuhi stadium.

Sebenarnya, jika tidak mampu adalah lebih baik fokus di peringkat liga bawahan dahulu daripada terlebih yakin yang akhirnya hanya memberi harapan palsu kepada penyokong.

Seorang penyokong, Mohd Aizat Sharif Fisalluddin,39, berkata, rakyat Perlis sekali lagi
dikecewakan apabila gagal ke Liga Super.

“Sebagai peminat bola sepak Perlis sudah tentulah ini adalah satu perkembangan yang menyakitkan dan tidak sihat kepada bola sepak Perlis.

“Sampai bila peminat bola sepak Perlis hendak terus ditipu dengan harapan palsu, sepatutnya pengurusan PUFC kenalah ukur baju pada badan sendiri bukannya terlebih ghairah
hendakkan reputasi bermain dalam Liga Super.

“Pihak pengurusan juga perlu dirombak dan mereka perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya