PETALING JAYA: Tugas berat menanti pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk mengadunkan semula strategi bagi membentuk skuad terbaik bagi mengharungi dua aksi menentang Oman pada 22 dan 26 Mac ini.
Oman kelihatan lebih bersedia dalam segala aspek berbanding Harimau Malaya biarpun pasukan di ranking ke-80 dunia itu bakal dibimbing pengendali baharu selepas Branko Ivancovic dipecat selepas Piala Asia lalu.
Oman kini dikendalikan jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy dan aksi menentang Malaysia nanti merupakan perlawanan antarabangsa pertama jurulatih kelahiran Republik Czech itu sebagai pengendali skuad kebangsaan Oman.
Ketika ini, Silhavy dilihat tidak berdepan masalah untuk membentuk skuad terbaik kerana rata-rata pemain Oman sedang aktif beraksi di liga mereka berbanding skuad Harimau Malaya yang berehat lama ekoran Liga Malaysia (Liga M) belum bermula.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berkata, berdasarkan senario semasa itu, Oman dilihat sebagai pasukan pilihan berbanding Harimau Malaysia dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.
“Oleh kerana pemain Oman sedang aktif dengan liga, ketua jurulatih mereka hanya perlu menyusun latihan taktikal dan mengkaji kekuatan dan kelemahan Malaysia untuk diimbangkan dengan mereka.
“Sudah pasti kemampuan Faisal Halim dan Arif Aiman di kiri kanan padang akan jadi tumpuannya manakala mengkaji bagaimana nak tembus kawalan Dion Cools dan rakan-rakan di kubu Harimau Malaya.
“Kesimpulannya jangan terlalu letakkan harapan tinggi untuk dua aksi bertemu Oman kerana mereka lebih bersedia. Ditambah pula dengan status mereka mereka di ranking ke-80 dunia dan ke-11 Asia manakala Malaysia di ke-132 dunia dan ke-23 Asia,” katanya.
Selain itu, Zakaria turut meminta agar semua pihak realistik dengan kemampuan Harimau Malaya dan tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
“Untuk kali ini, biar merendah diri dan jangan terlalu ‘mat jenin’. Biarlah harapan melihat kemenangan itu terletak jauh disudut hati. Tetapi berpijaklah di bumi nyata. Oman lebih kuat dan bersedia berbanding Malaysia.
“Berjaya menduduki tempat kedua selepas dua perlawanan dengan Oman ini pun dah kira rezeki yang amat besar. Sikap terlalu berharap kita layak ke pusingan ketiga selepas dua aksi ini agak keterlaluan jika bersandarkan kepada persiapan dan kedudukan ranking ketika ini.
“Jika tak tercapai nanti, akan meroyan maki hamun semua orang. Maka lebih baik buat masa ni, kita ‘acu’ kasut ikut saiz sendiri dahulu. Lain-lain kita serahkan kepada takdir. Biar Pan Gon dan pemain bersiap rapi dulu,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia sedang memimpin Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) pada November tahun lalu.
Berdasarkan kedudukan itu, Harimau Malaya berada di landasan tepat untuk mencatat sejarah baharu dalam arena bola sepak Malaysia layak ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 dan layak secara merit dua kali berturut-turut ke Piala Asia.