MANCHESTER: Dua gol Phil Foden bantu Manchester City tewaskan Manchester United 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Pada aksi di Stadium Etihad itu, tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan United menerusi Marcus Rashford.
Begitupun Foden kembali menyamakan kedudukan, disusuli penyudah cantik 10 minit sebelum tamat perlawanan.
Erling Haaland memastikan kemenangan bergaya buat pasukan kendalian Pep Guardiola dengan gol ketiga pada masa kecederaan sekali gus menyaksikan City kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Liverpool menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan itu 10 Mac ini bagi persaingan memburu kejuaraan EPL.
“Saya sentiasa merasakan dia (Foden) akan menjaringkan gol dan kini dia membantu memenangi perlawanan.
“Dia hidup untuk bermain bola sepak. Sebab itu pada usia 18, 19 tahun dia sudah membuktikan sesuatu tetapi kini dia lebih matang,” kata Guardiola mengenai Foden.
Kekalahan liga ke-11 musim ini untuk United menyebabkan anak buah Erik ten Hag ketinggalan 11 mata daripada kelompok empat teratas ketika berbaki 11 perlawanan.-AGENSI