KLANG – Garis masa Klang yang dikatakan wujud sejak 4,500 tahun lalu menjadikannya penuh dengan sejarah dan tradisi untuk diamati rakyat Selangor khususnya.
Perasmian Masjid Suleiman Jamiur-Rahmah atau Masjid Diraja Sultan Suleiman pada penghulu hari bersamaan 23 Jun 1933 telah secara simbolik menandakan Klang adalah Bandar Diraja.
Menurut Kurator Majlis Perbandaran Klang (MPK), Faisal Surani, perbezaan antara bandar biasa dengan Bandar Diraja adalah melalui tujuh kriteria utama menunjukkan bandar ini adalah antara Bandar Diraja di Malaysia.
Katanya, secara asasnya persamaannya adalah istana, masjid dan makam Diraja sebagai satu nilai estetika terhadap pemerintahan kesultanan di Selangor amnya.
“Namun, Klang mempunyai nilai tambah iaitu Kampung Diraja seperti Kampung Seri Alam, tulisan jawi, pelabuhan dan kota raja. Kesemua ini melambangkan ciri-ciri unik sebagai Bandar Diraja.
“Bagi mendekatkan hubungan raja dan rakyat di Bandar Diraja biasanya kita ada padang temasya dengan Klang sendiri mempunyai Padang Kota Raja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, baru-baru ini.
Faisal yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam penyelidikan sejarah di Selangor khususnya berkata, signifikan tulisan jawi dalam komponen Diraja adalah kerana tulisan tersebut adalah paling awal berbanding rumi di Tanah Melayu.
Penggunaannya juga simbolik melambangkan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing selain menjadi tulisan rasmi istana.
“Komponen sokongan lain yang menunjukkan Klang adalah Bandar Diraja adalah istana-istana hinggap atau tendiat, lancang diraja, kubu pertahanan, pangkalan atau pelabuhan dan Jalan Istana.
“Untuk Klang sendiri, kita ada lebih 350 tinggalan sejarah yang akan cuba kita ketengahkan secara berfasa. Melalui fasa pertama, sebanyak 30 keistimewaan Klang akan didedahkan menerusi Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang,” tegasnya.
Menurutnya, MPK juga akan memperkenalkan Jejak Warisan Sungai Klang dan Jejak Bayu Samudera dengan menggunakan bot bagi memartabatkan kembali tapak-tapak sejarah lama yang tidak diketahui orang ramai.
“Kita akan mulakan di Pelabuhan Klang dan jeti Taman Pangkalan Batu menyusuri kawasan Kuala Sungai Klang, iaitu tapak kubu lama sewaktu Perang Klang selain mempertontonkan warisan semula jadi hutan bakau, kehidupan masyarakat Orang Asli dan nelayan serta Pulau Ketam,” ujarnya.
Faisal yang merupakan mantan Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor menjelaskan, Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang adalah satu jenama warisan bagi daerah Klang dalam menarik minat masyarakat mendalami sejarah Klang itu sendiri.
“Kita membuat pendekatan baharu dan tidak hanya menampilkan lokasi dan tempat sejarah, sebaliknya memperkenalkan konsep pewujudan tempat di setiap laluan jejak agar dapat memberikan kesan mendalam kepada orang yang datang atau melalui lokasi-lokasi tersebut.
“Panduan dan peta juga akan disediakan selain memasang panel-panel interpretasi berserta maklumat dan gambar bersama kaedah pengimbasan kod respons pantas (QR) di setiap penanda tempat dalam laluan Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang,” katanya.
Penanda Tempat Jejak Warisan Diraja
- Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz
- Kelab Diraja Klang
- Pintu Utama Istana
- Masjid Diraja Istana
- Istana Alam Shah
- Balai Nobat Diraja
- Replika Stesen Tanjung Pagar dan Stesen Bukit Timah
- Royal Automobile Gallery
- Taman Mahkota
- Galeri Bola Sepak Selangor
- Meriam dan Pesawat Tentera
- Meriam Lama Kesultanan Selangor
- Perahu Petalawati
Penanda Tempat Jejak Warisan Kota Raja
- Masjid Diraja Sultan Suleiman
- Mural Lama
- Kolam Wuduk
- Makam Diraja
- Tandas Lama Masjid
- Pejabat Lama Kadi Klang
- Istana Jemaah Kolej Islam Sultan Alam Shah
- Istana Puri
- Dewan Melayu Klang
- Sekolah Kebangsaan Klang
- Rumah Agam Dato’ Bentara Amar Diraja (Muzium Tekstil Negeri Selangor)
- Tapak Terowong Istana
- Stadium Kota Raja