Tiga penalti, bantu Qatar pertahankan status 'Raja Asia'

Tiga penalti, bantu Qatar pertahankan status ‘Raja Asia’

AKRAM Afif dijulang sebagai wira Qatar selepas membantu pasukan muncul juara dan mencipta hatrik di pentas akhir Piala Asia 2023 berdepan Jordan di Stadium Lusail, sebentar tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Qatar berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Asia untuk dua edisi berturut-turut selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Jordan pada pentas akhir di Stadium Lusail, sebentar tadi.

Selaku tuan rumah, Qatar mendapat sokongan padu penyokong yang turun dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2019.

Tiga penalti diperolehi skuad kendalian Tintin Marquez memastikan magis jurulatih Sepanyol itu terus memberi tuah kepada Qatar yang sebelum ini turut memenangi kejuaraan tertinggi Asia dibawah seorang lagi pengendali daripada negara sama iaitu Felix Sanchez.

Pada aksi itu, Qatar dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-22 selepas Akram Afif ditolak daripada belakang oleh pertahanan kanan Jordan Abdallah Nasib dan ia mudah disempurnakan oleh penyerang berusia 28 tahun itu.

Kedudukan 1-0 kekal di babak pertama meskipun kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk mencipta jaringan.

Jordan memulakan babak kedua melakukan serangan bertali arus ke kubu Qatar yang terpaksa bertahan.

Usaha Jordan untuk mencari gol penyamaan hadir pada minit ke-67 menerusi ledakan kencang Yazan Al-Naimat.

PENYERANG Jordan Yazan Al-Naimat. melakukan rembatan kencang untuk gol penyamaan pada aksi final menentang Qatar.-AFP

Begitupun, Qatar tidak menunggu lama untuk kembali mendahului dan ia juga diperolehi daripada sepakan penalti selepas Almoez Ali dijatuhkan oleh Mahmoud Al-Mardi.

Keputusan itu dibuat oleh pengadil dari China, Ma Ning selepas merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR).

Sepakan itu mudah disudahkan Afif untuk gol kedua peribadinya pada perlawanan itu.

Ketika Jordan cuba mencari gol penyamaan, Qatar sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Afif dijatuhkan dalam kotak penalti selepas dia terlepas daripada perangkap ofsaid dilakukan pertahanan Jordan.

Peluang untuk melakar hatrik dan dinobatkan sebagai penjaring gol terbanyak kejohanan dimanfaatkan oleh Afif sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik Qatar.

Afif muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol dan menjadi pemain terbaik kejohanan manakala penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham menjadi penjaga gol terbaik.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya