RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmud Abbas mendesak kumpulan pejuang Hamas supaya segera bersetuju memeterai perjanjian Gaza untuk gencatan senjata bagi mengelak akibat yang lebih buruk.
Lapor agensi berita rasmi Palestin, Wafa, Mahmud menyatakan kebimbangan mengenai kedegilan Hamas akan membawa malapetaka kepada rakyat Palestin.
“Kami menyeru pergerakan Hamas untuk segera menyelesaikan perjanjian tawanan untuk menyelamatkan rakyat Palestin kami daripada malapetaka, satu lagi bencana yang membawa akibat buruk, tidak kurang berbahaya daripada Nakba 1948,” kata Mahmud.
Presiden itu merujuk kepada perang Israel yang menyaksikan 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dipaksa keluar dari rumah mereka.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu tidak terlibat dalam rundingan minggu ini yang dihoskan oleh Mesir bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata antara Hamas dan Israel selepas lebih empat bulan berperang.
PIHAK BERKUASA PALESTIN DICEMUH
Berada di Ramallah di Tebing Barat, PA dicemuh secara meluas oleh rakyat Palestin yang dilihat gagal menyatakan aspirasi mereka supaya negara itu direalisasikan sejak 1948.
Amerika Syarikat, penyokong tentera tertinggi Israel dan pembiaya PA berkata, ia menyokong penubuhan negara Palestin tetapi mahukan rombakan kepemimpinan.
Diplomat tertinggi Washington, Antony Blinken berkata bulan lalu, Mahmud komited untuk memperbaharui PA supaya ia boleh bertanggungjawab secara berkesan ke atas Gaza, supaya Gaza dan Tebing Barat dapat disatukan di bawah kepemimpinan Palestin.
Gaza mempunyai pentadbiran tersendiri yang dikendalikan oleh Hamas sejak 2007 apabila penyokong setia Mahmud digulingkan dari wilayah itu.
SEPANYOL, IRELAND MINTA KAJI SEMULA TINDAKAN ISRAEL
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Sepanyol dan Ireland meminta Suruhanjaya Eropah untuk mengkaji semula sama ada Israel mematuhi kewajipan hak asasi manusia di Gaza atau sebaliknya.
Hal ini berikutan tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk Israel menangguhkan serangan ke bandar Rafah yang padat.
Kedua-dua pemimpin itu berkata, menyerang Rafah akan menimbulkan ancaman besar dan mesti diambil tindakan segera oleh masyarakat antarabangsa.
“Kami juga mengimbau kembali kengerian 7 Oktober lalu dan menyeru pembebasan semua tebusan dan gencatan senjata segera yang boleh memudahkan akses untuk bekalan kemanusiaan yang sangat diperlukan,” kata
Perdana Menteri dalam surat bersama yang diterbitkan dalam laman web kerajaan Sepanyol.
Sekurang-kurangnya 1,139 rakyat Israel terbunuh dan kira-kira 240 orang ditawan dalam serbuan oleh pejuang Hamas ke atas Israel selatan pada 7 Oktober, mendorong Israel melancarkan serangan paling kejamnya di wilayah yang dikepung itu.
Sekurang-kurangnya 28,576 rakyat Palestin terbunuh sejak itu dalam serangan Israel, kata Kementerian Kesihatan di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sepanyol dan Ireland secara khusus bersuara lantang mengenai topik serangan Israel ke atas Gaza berbanding dengan negara Kesatuan Eropah yang lain.
HARAPKAN SOKONGAN LEBIH BANYAK
Walaupun hanya Sepanyol dan Ireland yang menandatangani surat sokongan itu, sumber berkata, ia menjangkakan sokongan lebih banyak apabila menteri-menteri mengadakan pertemuan pada Majlis Eropah yang akan dijalankan Mac ini.
Campur tangan Eropah itu dibuat berikutan rujukan Afrika Selatan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas dakwaan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Suruhanjaya Eropah mengesahkan penerimaan surat sokongan itu dan berkata ia akan menyiasatnya, kata jurucakap Arianna Podesta kepada pemberita.
“Kami menggesa semua pihak untuk menghormati undang-undang antarabangsa ada akauntabiliti untuk pelanggaran undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap itu. –AGENSI