Misi sukar AS ke Asia Barat untuk laksana gencatan senjata

Misi sukar AS ke Asia Barat untuk laksana gencatan senjata

Rakyat Palestin diseru tidak lupa penderaan sedang dialami penduduk Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANNON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dilaporkan kembali ke Asia Barat semalam untuk berbincang dengan negara-negara Arab mengenai pelaksana­an pembinaan semula Gaza dan menerima perjanjian tebusan di antara Israel dan Hamas.

Ini merupakan perjalanan kelimanya ke Asia Barat selepas serangan 7 Oktober lalu oleh Hamas yang menyebabkan tindakan balas Israel secara besar-besaran.

Lawatan kali ini disifatkan sukar bagi AS yang beberapa hari sebelumnya melakukan sera­ngan udara terhadap sasaran Iran di Iraq dan Syria sebagai tindak balas kepada serangan dron yang membunuh tiga rakyatnya.

Ia juga berlaku ketika AS me­ningkatkan tekanan ke atas Israel dengan pentadbiran Pre­siden AS, Joe Biden me­ngenakan se­katan ke atas empat pelampau Yahudi di Tebing Barat selain bimbang keganasan memuncak terhadap orang awam Palestin di Gaza.

Blinken akan membincangkan mengenai cadangan yang dicapai se­minggu lebih awal di Paris oleh Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), pegawai Mesir, Qatar dan Israel yang mahu menghentikan perang selama hampir empat bulan.

“Mustahil untuk mengatakan kita akan mendapat kejayaan dengan mudah,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS di dalam pesawat Blinken dengan syarat tidak mahu na­manya di­siarkan.

Kata pegawai itu, ‘bola’ sekarang berada di pihak Hamas.

Tetapi, pegawai itu berkata, Blinken yang juga akan melawat Mesir, Qatar, Israel dan Tebing Barat berusaha untuk bertindak segera dalam misi tersebut.

“Jika kami mendapat jeda kemanusiaan, kami mahu berada dalam kedudukan untuk berge­rak secepat mungkin,” kata pe­gawai berkenaan.

Keutamaan AS kini termasuk pelan pembinaan semula untuk Gaza di mana majoriti bangunan runtuh selepas dibom tentera Israel tanpa henti dan juga mewujudkan negara Palestin, idea yang ditentang keras oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Satu lagi matlamat utama yang Blinken akan bincangkan ialah normalisasi Arab dengan Israel, kata pegawai itu.

Sebelum 7 Oktober lalu, Arab Saudi mengadakan perbincangan untuk mengiktiraf Israel yang akan menjadi langkah penting kerana kerajaan itu adalah penjaga dua tapak paling suci Islam.

Blinken juga dijangka bertemu semula dengan pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Mohammed Salman berkata, masih terdapat kepentingan jelas oleh Riyadh dalam normali­sasi hubungan dengan Israel.

Tetapi Israel menghadapi kritikan hebat dalam dunia Arab kerana menggunakan kekerasan dan sekatan yang ketat.

Lebih 27,200 orang mati di Gaza, menurut kementerian ke­sihatan di wilayah kendalian Hamas dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran tentang risiko kebuluran kerana penduduk Gaza kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata, Blinken akan menekan Israel untuk menangani situasi kemanusiaan dengan segera.

“Ini akan menjadi keutamaan beliau apabila melihat kerajaan Israel. Keperluan rakyat Palestin akan menjadi keutamaan dalam pendekatan AS,” kata Sullivan kepada “Face the Nation” di CBS News. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya