NEW YORK: Ketua Médecins Sans Frontières (MSF) memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bahawa pasukan perubatan di Gaza menghasilkan akronim baharu iaitu WCNSF atau kanak-kanak cedera, tiada keluarga yang terselamat.
Menurut Setiausaha Agung Antarabangsa MSF, Christopher Lockyear, kanak-kanak yang terselamat dalam perang ini bukan sahaja akan menanggung luka yang boleh dilihat dengan mata kasar akibat kecederaan traumatik, tetapi juga yang terpendam.
“Terdapat perpindahan berulang, ketakutan berterusan dan mereka menyaksikan ahli keluarga benar-benar hilang di depan mata mereka.
LEBIH BAIK MATI
“Kecederaan psikologi ini menyebabkan kanak-kanak seawal lima tahun memberitahu bahawa lebih baik mereka mati bersama-sama ahli keluarga,” katanya kepada 15 anggota majlis itu.
Lockyear menyelar Amerika Syarikat (AS) dan terkejut kerana negara itu berulang kali menggunakan kuasa veto untuk menghalang UNSC daripada menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang antara Israel dan pejuang Hamas di Gaza.
“Rakyat Gaza memerlukan gencatan senjata, bukan apabila boleh dilaksanakan, tetapi sekarang. Mereka memerlukan gencatan senjata yang berterusan, bukan tempoh tenang sementara.
“Apa-apa yang kurang daripada ini adalah kecuaian yang sangat teruk,” kata Lockyear.
KUASA VETO AS
AS memveto tiga resolusi UNSC sejak bermulanya pertempuran pada 7 Oktober lalu dan yang terbaru pada Selasa lalu, menyekat permintaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera kerana ia sebaliknya mendesak UNSC untuk menggesa gencatan senjata sementara yang dikaitkan dengan pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas.
Duta Besar China untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun memberitahu UNSC bahawa mereka berasa terkejut dengan taklimat yang disampaikan Lockyear.
“Kami berharap gambaran tragis mengenai Gaza dapat menyentuh hati nurani ahli tertentu dalam majlis ini,” kata Zhang.
AS berkata, mereka bimbang draf resolusi yang diveto pada Selasa lalu boleh menjejaskan rundingan antara mereka, Mesir, Israel dan Qatar yang bertujuan untuk menjadi perantara bagi jeda enam minggu dalam perang dan pembebasan tebusan.
Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood bagaimanapun tidak mengiktiraf taklimat Lockyear.
Beliau berkata, AS mendesak Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza dan memberitahu sekutunya bahawa ia tidak seharusnya meneruskan serangan darat di Rafah, selatan Gaza dengan ketiadaan rancangan yang berdaya maju untuk melindungi orang awam.
“Kita semua mahu melihat penamat yang bertahan lama kepada konflik ini.
“Kelajuan rundingan tebusan boleh mengecewakan… sokongan majlis untuk diplomasi ini adalah penting untuk meningkatkan tekanan ke atas Hamas untuk menerima perjanjian di atas meja,” katanya.
TAKLIMAT LOCKYEAR MENGERIKAN?
Duta Besar Britain untuk PBB, Barbara Woodward menyifatkan taklimat Lockyear sebagai mengerikan.
Britain berkecuali pada pengundian Selasa lalu manakala baki 13 ahli majlis mengundi menyokong resolusi yang digubal Algeria.
Peperangan bermula apabila pejuang daripada kumpulan pejuang Hamas yang mengendalikan Gaza menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh 1,200 orang dan menangkap 253 tebusan, menurut pengiraan Israel.
Sebagai tindakan balas, Israel melancarkan serangan ketente_raan ke atas Gaza yang menurut pihak berkuasa kesihatan, membunuh hampir 30,000 rakyat Palestin dengan beribu-ribu lagi mayat dikhuatiri hilang di tengah-tengah runtuhan. – REUTERS