AL RAYYAN: Iran mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan juara empat kali, Jepun pada aksi suku akhir sekali gus mara ke separuh akhir Piala Asia 2023.
Kemenangan 2-1 ke atas skuad Samurai Biru dicatat dengan cukup manis dan ia juga meleburkan rekod tanpa kalah Jepun kepada Iran.
Lebih membanggakan, skuad kendalian Amir Ghalenoei melebarkan rekod tanpa kalah kepada 16 perlawanan sejak dia mengambil alih tugas selaku jurulatih pada Mac tahun lalu.
Pada aksi di Stadium Education City, sebentar tadi, Jepun terlebih dahulu didepan menerusi jaringan Hidemasa Morita yang melakukan larian melepasi empat pemain pertahanan Iran sebelum menewaskan penjaga gol, Alireza Beiranvand pada minit ke-28.
Namun Iran bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-55 hasil ledakan Mohammad Mohebi.
Ketika perlawanan kelihatan bakal memasuki masa tambahan, tindakan pemain Jepun, Ko Itakura menjatuhkan Hossein Kanani di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Iran.
Tugasan itu mudah disempurnakan oleh Alireza Jahanbakhsh sekali gus membawa Iran ke separuh akhir.
Lawan mereka nanti diantara juara bertahan, Qatar atau Uzbekistan yang juga berakhir hari ini.
Semalam, Jordan dan Korea Selatan telah mengesahkan tempat ke separuh akhir dan akan bertemu Selasa ini.-AGENSI