GAZA: Israel akan memfailkan pertuduhan terhadap imam yang juga pendakwah Masjid Al-Aqsa Baitulmuqaddis Timur, Sheikh Ekrima Sabri kerana hasutan keganasan.
Kenyataan Kementerian Kehakiman Israel berkata, Sheikh Ekrima, 85, akan dituduh menghasut keganasan selepas mengucapkan takziah kepada keluarga rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel.
Kementerian berkata, keputusan itu diluluskan oleh Peguam Negara Israel, Gali Baharav-Miara.
Seorang peguam bela untuk pendakwah Masjid Al-Aqsa, Khaled Zabarqa menyalahkan tekanan daripada kumpulan sayap kanan Israel atas tindakan Tel Aviv memfailkan tuduhan terhadap Ekrima.
“Keputusan Israel itu sama dengan subversif undang-undang untuk tujuan politik.
“Ini adalah penganiayaan politik, agama dan intelektual yang dilakukan oleh kumpulan sayap kanan yang melampau untuk menyebarkan huru-hara,” katanya kepada Anadolu.
Sheikh Ekrima ditahan beberapa kali oleh tentera Israel pada masa lalu dan dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur.
Beliau adalah pengkritik tegar pendudukan Israel di wilayah Palestin selama beberapa dekad.
Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan Mufti Baitulmuqaddis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006.
Masjid Al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci di dunia untuk umat Islam.
Orang Yahudi memanggil kawasan itu sebagai Gunung Kuil, mengatakan ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman dahulu.
Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur di mana terletaknya Al-Aqsa semasa Perang Arab-Israel 1967.
Ia menggabungkan seluruh bandar pada tahun 1980, satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.-AGENSI