PETALING JAYA: Nasib berbeza menimpa dua wakil negara dalam acara perseorangan lelaki apabila pemain No. 1 Malaysia, Lee Zii Jia mara ke suku akhir, manakala Leong Jun Hao tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Zii Jia yang kini menghuni ranking No. 10 dunia menyekat kemaraan wakil Hong Kong yang berada di kedudukan ke-20 dunia, Angus Ng Ka Long 22-20, 21-15 dalam masa 46 minit.
Pada suku akhir, esok, Zii Jia bakal berdepan sama ada Priyanshu Rajawat dari India atau pemain Kanada, Brian Yang.
Jun Hao pula tidak bernasib baik apabila terpaksa berdepan wakil tuan rumah yang juga jaguh No. 4 dunia, Anthony Sinisuka Ginting seawal pusingan kedua.
Seperti diduga, pemain negara yang menghuni ranking ke-37 dunia itu tunduk ditangan Ginting menerusi kekalahan straight set 15-21, 17-21.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, hanya Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berjaya menjejakkan kaki ke peringkat lapan terbaik selepas menyingkirkan rakan senegara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-12, 21-16 dalam masa 41 minit.
Bagaimanapun, gandingan ke-25 dunia itu terpaksa mengharungi laluan getir menentang pasangan No. 1 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong di pusingan seterusnya.
Dua lagi wakil Malaysia iaitu pasangan No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menghuni ranking No. 14 dunia ditunjukkan jalan keluar oleh lawan masing-masing.
Tang Jie-Ee Wei tewas kepada beregu ke-20 dunia dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-12, 13-21, 14-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama sejam.
Soon Huat-Shevon pula akur ditangan pilihan keempat dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 10-21, 16-21 dalam masa 33 minit.-UTUSAN