MUMBAI: Sebuah video tular dalam media sosial menunjukkan orang ramai memasak di atas landasan kereta api di Mumbai, India.
Lapor NDTV, menurut warganet menerusi aplikasi X, klip itu dirakam di stesen kereta api Mahim Junction.
Video itu memaparkan aksi beberapa wanita yang duduk di atas landasan kereta api dan menyediakan makanan di atas dapur selain terdapat beberapa gadis turut belajar di sana.
Kanak-kanak juga kelihatan berlari-lari dan beberapa orang tidur di kawasan berdekatan.
Video tersebut mengumpul lebih 21,000 tontonan dan ramai pengguna menyatakan kebimbangan di ruangan komen.
“Sangat berbahaya, tolong sesiapa ambil tindakan ke atas mereka.
“Ia adalah kesalahan pegawai yang berkaitan. Mereka mengabaikan tugas di premis stesen kereta api ini,” ” kata seorang daripada warganet.
Warganet yang lain berkata, mereka sedih melihat keadaan masyarakat yang meletakkan nyawa dalam bahaya.
Pengurus Bahagian Kereta Api (DRM) Mumbai Central mengambil perhatian terhadap video itu dan mengarahkan pihak berkuasa di Western Railway untuk meneliti isu berkenaan.
DRM kemudiannya mengarahkan Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) mengambil tindakan.
RPF bertindak balas kepada status aplikasi X berkenaan dan berkata kakitangannya tiba di tempat itu dan mengeluarkan kalangan yang melanggar undang-undang tersebut.
“Kakitangan dinasihatkan lebih berhati-hati dan lebih peka bagi memastikan sistem perjalanan kereta api bebas daripada aktiviti tidak wajar seperti itu,” kata DRM.
Awal bulan ini, terdapat satu lagi video dikongsi di X yang menunjukkan seorang ahli pasukan kebersihan kereta api membuang beg yang penuh dengan sampah dari kereta api yang sedang bergerak di landasan.