NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan mengenai keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Jumaat lalu yang menggesa Israel mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung pada hari Rabu dan diatur oleh Algeria.
Algeria bertindak sedemikian berikutan rasa tidak puas hati mereka dengan kesan pengumuman ICJ mengenai langkah-langkah sementara yang dikenakan ke atas pendudukan Israel di Gaza.
Jumaat lalu, ICJ mengumumkan keputusan bahawa Israel mesti menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dalam perangnya dengan Hamas selain membenarkan bantuan masuk ke Gaza.
Bagaimanapun, tiada pemakluman mengenai gencatan senjata.
Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Riyad Mansour berkata, keputusan itu memberi mesej yang jelas bahawa untuk melaksanakan setiap perintah yang diumumkan oleh ICJ, asasnya adalah gencatan senjata.
Gabriel Elizondo dari Al Jazeera, melaporkan dari PBB di New York berkata, sumber diplomatik menunjukkan bahawa cadangan oleh Algeria berkemungkinan menggesa supaya gencatan senjata dilakukan dengan segera.
“Semua mata kini beralih kepada UNSC,” katanya, sambil menambah bahawa langkah negara itu sangat dinanti-nantikan.
UNSC yang lama berpecah mengenai isu Israel-Palestin, hanya bersetuju dengan dua resolusi sejak serangan Hamas 7 Oktober lalu yang membawa kepada serangan besar-besaran Israel di Gaza.
Dua resolusi itu adalah menuntut penghantaran bantuan berskala besar kepada penduduk Gaza yang terkepung manakala sekutu Israel, Amerika Syarikat serta mengekalkan gesaan untuk gencatan senjata walaupun tekanan antarabangsa.
Serangan Hamas pada 7 Oktober lalu membunuh kira-kira 1,140 orang di Israel.
Pejuang Palestin turut merampas kira-kira 250 orang dan Israel berkata 132 daripada mereka kekal di Gaza, termasuk sekurang-kurangnya 28 orang sudah meninggal dunia.
Israel berjanji untuk menghancurkan Hamas dan melancarkan serangan tentera yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 26,257 orang, kira-kira 70 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak. -Al Jazeera