KYIV: Ahli Parlimen Ukraine memperkenalkan rang undang-undang untuk membatalkan larangan penggunaan sperma dan telur tentera yang maut dalam pertempuran.
Undang-undang baharu kontroversi yang akan dikuatkuasakan Mac ini memerlukan sperma dan telur yang disimpan oleh askar sebelum ke medan perang dimusnahkan selepas kematian mereka.
Tetapi hal itu mencetuskan perdebatan emotif di negara yang dilanda perang.
Timbalan Speaker Parlimen, Olena Kondratyuk berkata, penggubal undang-undang akan memperkenalkan pindaan itu hari ini yang akan membatalkan pelupusan bedah siasat biomaterial.
Kondratyuk mencadangkan undang-undang yang disemak itu akan membenarkan penggunaan sperma dan telur bukan sahaja oleh balu dan duda tetapi juga oleh pasangan yang belum berkahwin dan juga ibu bapa kepada tentera yang mati.
Sementara itu, Peguam, Olena Babych mencetuskan perdebatan meluas minggu lalu dengan mendedahkan dilema seorang wanita yang suaminya membekukan sperma sebelum terbunuh.
Dia berkata, dia perlu memberitahu pelanggannya bahawa tidak dapat menggunakan sperma dalam beberapa bulan.
“Bagaimana anda menjelaskan kepada seorang wanita yang berduka… bahawa semasa suaminya mempertahankan negara dan meninggal dunia. Penggubal undang-undang kita benar-benar merampas hak tentera untuk menjadi bapa selepas kematiannya?” Babych menulis di Facebook.
Undang-undang yang diluluskan tahun lalu membenarkan tentera Ukraine membekukan sperma atau telur mereka secara percuma sekiranya mereka cedera dalam pertempuran.
Tetapi dalam undang-undang itu juga mengatakan bahawa sperma itu akan dimusnahkan jika pejuang itu mati.
Kementerian Kesihatan Ukraine bagaimanapun mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa klinik pembiakan tidak akan melupuskan biomaterial beku tentera yang gugur.
Larangan itu adalah konflik perundangan yang akan dihapuskan secepat mungkin, tambah kementerian itu.
“Kementerian kesihatan, bersama-sama ahli Parlimen, sudah menjalankan kerja yang berkaitan,” katanya.
Tidak seperti kebanyakan negara Eropah yang lain, Ukraine membenarkan ibu tumpang dan sebelum perang ia adalah destinasi popular untuk pasangan antarabangsa yang mengambil kesempatan daripada ini. -AFP