WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengaku bahawa mereka menembak jatuh peluru berpandu yang dihala ke arah kapal perang pemusnah milik negara itu dari kawasan kawalan Houthi di Yemen.
Serangan itu yang pertama terhadap kapal pemusnah AS di Laut Merah, pada waktu peningkatan jumlah peluru berpandu dan serangan dron atau percubaan serangan oleh Houthi di kawasan laluan perdagangan di sana.
Pemerintah Pusat AS berkata dalam satu kenyataan, kejadian itu berlaku pada waktu petang.
“Pada 14 Januari kira-kira pukul 4:45 petang (waktu Sanaa) sebuah peluru berpandu pelayaran anti-kapal ditembak dari kawasan militan Houthi yang disokong Iran di Yemen ke arah USS Laboon (DDG 58), yang beroperasi di Laut Merah Selatan,” kata kenyataan itu.
“Peluru berpandu itu ditembak jatuh di sekitar pantai Hodeida oleh pesawat pejuang AS,”. Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan,” menurut Komando Pusat tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) pula.
Houthi berkata mereka bertindak sebagai solidariti dengan Gaza, di mana pejuang Hamas memerangi Israel selama lebih tiga bulan.
Terdahulu, AS menafikan laporan ia melakukan serangan baru Ahad ke atas sasaran pemberontak di Yemen.
Media Houthi berkata, serangan AS dan British melanda Hodeida yang dikuasai pemberontak, tetapi seorang pegawai pertahanan AS yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, tiada serangan AS atau gabungan berlaku pada hari berkenaan.
Awal pagi Jumaat lalu, tentera AS dan British berkata, mereka berjaya mencecah beberapa sasaran pemberontak di seluruh Yemen, meningkatkan kebimbangan bahawa perang Israel dengan militan Hamas Palestin boleh menyelubungi wilayah itu.
Lewat Jumaat pula, tentera AS berkata, ia melakukan serangan susulan terhadap tapak radar Houthi.
Sekitar 12 peratus daripada perdagangan global biasanya melalui Selat Bab al-Mandeb, pintu masuk Laut Merah antara barat daya Yemen dan Djibouti, tetapi serangan pemberontak menjejaskan aliran perdagangan berkenaan. -AFP