Tak terguris hati dipanggil ustazah ayam - Utusan Malaysia

Tak terguris hati dipanggil ustazah ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU siang rutin hariannya mengajar murid sekolah, petang pula diluangkan masa untuk mengejar ayam peliharaan yang dibela di belakang rumah. 

Itu perkongsian menarik seorang guru, Anis Athirah Abdull Rahim, 32, yang menjadikan ayam kampung sebagai hobi di masa senggangnya. 

Ibu dua anak ini berkata, minat membela ayam timbul selepas mendengar kokokan ayam yang menjadi ‘alat penggera’ untuk dirinya bangkit pada setiap pagi. 

“Tiap hari bila dengar ayam jiran berkokok, automatik saya terjaga dan bangun daripada tidur. 

“Situasi itulah menyebabkan hati saya terdetik membela ayam sendiri. Lagipun ayam banyak manfaatnya. Daging dan telurnya boleh di makan. Kalau tak menetas boleh jadi anak ayam,” katanya kepada Seri. 

SEKADAR HOBI 

Guru al-Quran di SMKA Syeikh Abdullah Fahim, Nibong Tebal, Pulau Pinang ini bermula dengan hanya membeli sepasang ayam kampung daripada jiran terdekat. 

“Daripada sepasang, akhirnya beranak-pinak, termasuk ada yang saya beli lain sehingga menjadi enam ekor kesemuanya. 

“Kebetulan ayah saya memang pandai bertukang, jadi minta tolong ayah untuk buatkan reban di belakang rumah. 

“Reban juga dikelilingi pagar bagi memastikan keselamatan terjamin seperti mengelakkan ia daripada serangan pemangsa lain seperti biawak dan ular,” katanya. 

Mengenai rutin menjaga dan memberi ayam makan, Anis menjelaskan dirinya tidak terlalu bimbang jika tidak sempat memberikan ayam kesayangan makan, kerana bapanya akan membantu untuk menjaga hal ehwal pemakanan, minuman dan kesihatan ayam. 

Lebih menarik, kongsinya, anak sulungnya yang kini berusia enam tahun juga rajin membantu dan suka bermain dengan ayam di reban. 

“Kadang-kadang itu, siap dia membebel dengan ayam jangan pijak kaki abang. Dia suka main kejar-kejar supaya ayam lari dan terbang dalam reban,” kongsinya sambil tertawa. 

Mengulas mengenai kos penjagaan haiwan berkenaan, kata Anis, ia tidaklah terlalu mahal lantaran beliau membela sekadar memenuhi hobi, bukannya untuk dikomersialkan. 

“Sama ada bagi jagung hancur atau nasi yang tak habis dimakan. Kalau sempat saya akan masak nasi baharu untuk bagi ayam makan,” katanya. 

USTAZAH AYAM 

Mendapat jolokan ‘ustazah ayam’ daripada budak-budak nakal yang mengelilingi kampung sambil berbasikal, tidak pernah membuatkan wanita ini terguris hati. 

Baginya, gelaran ini menandakan dirinya lebih mudah diingati dalam kalangan murid-murid. 

“Hujung minggu, saya lepaskan ayam dari reban sebab nak bagi sedikit kebebasan buat mereka. Saya pernah bekejaran dengan ayam di sekeliling rumah sambil berleter. 

“Itu yang budak-budak kampung ternampak dan secara tak langsung dapat gelaran ‘ustazah ayam’,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya