PETALING JAYA: Kegagalan demi kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan menyaksikan skuad hoki senior dan remaja kebangsaan dibubarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Barisan kejurulatihan juga turut ditamatkan kontrak, selaras dengan pembubaran pasukan.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, menjelaskan skuad kebangsaan akan berwajah baharu selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.
“Saya nak maklumkan selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan, kita memang sudah bubarkan pasukan senior lelaki dan remaja lelaki.
“Jadi, tiada pasukan kebangsaan buat masa sekarang ini. Kita akan bina semula pasukan baharu selepas tamat saingan liga nanti,” kata Subahan ketika sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Skuad lelaki senior kebangsaan yang lebih dikenali Speedy Tigers sebelum ini gagal dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou selepas menamatkan saingan di kedudukan keenam.
Pasukan sama kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen dikedudukan tercorot.
Dalam pada itu, skuad lelaki remaja negara atau dikenali Young Tigers pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12, bulan lalu.-UTUSAN