BAITULMUQADDIS: Pembunuhan orang awam di Gaza berada pada skala yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia, kata kumpulan pemantau.
Sehingga kini, dilaporkan kira-kira 23,469 rakyat Palestin terbunuh akibat dibom dan diserang tentera Israel.
Sebuah badan amal yang berpangkalan di Britain, Oxfam berkata, jumlah kematian harian rakyat Palestin dalam perang Israel ke atas Gaza mengatasi mana-mana konflik besar lain pada abad ke-21.
Sementara mangsa yang terselamat kekal berisiko tinggi akibat kelaparan, penyakit dan selsema berterusan.
“Tentera Israel membunuh rakyat Palestin pada kadar purata 250 orang sehari, yang secara besar-besaran melebihi angka kematian harian mana-mana konflik besar lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Oxfam dalam satu kenyataan.
Sebagai perb Badan amal itu menyediakan senarai purata kematian setiap hari dalam konflik lain sejak permulaan abad: 96.5 di Syria, 51.6 di Sudan, 50.8 di Iraq, 43.9 di Ukraine, 23.8 di Afghanistan dan 15.8 di Yaman.
Oxfam berkata, krisis itu ditambah lagi dengan sekatan Israel terhadap kemasukan bantuan ke Gaza di mana hanya 10 peratus daripada bantuan makanan mingguan yang diperlukan masuk.
Ini menimbulkan risiko kebuluran yang serius bagi mereka yang terselamat daripada pengeboman tanpa henti, katanya.
Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Human Rights Watch (HRW) mengeluarkan Laporan Dunia 2024 yang mengatakan orang awam di Gaza disasar, diserang, didera dan dibunuh sepanjang tahun lalu pada skala yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah baru-baru ini.
Sekurang-kurangnya 23,469 rakyat Palestin terbunuh dan 59,604 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Dalam tempoh pelaporan 24 jam terbaru, tentera Israel melakukan 10 pembunuhan besar-besaran di Semenanjung Gaza menyebabkan 112 kematian dan 194 kecederaan, tambah kementerian itu.
Kira-kira 7,000 orang masih hilang di bawah runtuhan dan dianggap mati.
Pengarah Israel dan Palestin di HRW, Omar Shakir berkata, jenayah kejam yang dilakukan oleh tentera Israel dan kumpulan bersenjata Palestin sejak 7 Oktober lalu adalah warisan yang menjijikkan selama beberapa dekad untuk serangan yang menyalahi undang-undang dan penindasan sistematik Israel terhadap rakyat Palestin.
“Berapa ramai lagi orang awam yang mesti menderita atau terbunuh akibat jenayah perang sebelum negara yang membekalkan senjata menarik perhatian dan sebaliknya mengambil tindakan untuk menamatkan kekejaman ini?,” katanya.
Afrika Selatan kelmarin membentangkan kesnya terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda yang menuduh negara itu melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Bagaimanapun, tuduhan itu ditolak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyifatkannya sebagai munafik dan pembohongan.
Dalam laporannya, HRW menyatakan bahawa perang Israel ke atas Gaza memasukkan tindakan hukuman kolektif seperti jenayah perang, termasuk penggunaan kelaparan sebagai kaedah peperangan.
Hal ini termasuk memotong perkhidmatan penting seperti air dan elektrik serta menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan yang paling kritikal.
Sementara itu, di Tebing Barat, HRW berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama 2023, insiden keganasan Israel terhadap penduduk Palestin dan harta-benda mereka mencapai purata harian tertinggi sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mula merekodkan data tersebut pada 2006.
Sekurang-kurangnya 3,291 penduduk Palestin ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan, menurut angka Perkhidmatan Penjara Israel.
“Penindasan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat Palestin yang dilakukan sebagai sebahagian daripada dasar untuk mengekalkan penguasaan Yahudi Israel ke atas rakyat Palestin, sama dengan jenayah aparteid dan penganiayaan terhadap kemanusiaan,” kata HRW.
Pakar dalam pemetaan kerosakan semasa perang juga mendapati bahawa perang di Gaza kini menjadi antara yang paling merosakkan dalam sejarah baru-baru ini.
Penyelidik mendapati, serangan itu mendatangkan lebih kemusnahan berbanding di Aleppo, Syria. – Al-Jazeera