PETALING JAYA: Biarpun masih berbaki satu perlawanan di Piala Asia 2023, cabaran Harimau Malaya boleh dikatakan sudah berakhir selepas anak-anak buah Kim Pan Gon tumpas dua kali di peringkat Kumpulan E.
Tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi pembukaan dan tunduk 0-1 kepada Jordan, semalam menceritakan prestasi sebenar Harimau Malaya ketika berdepan pasukan-pasukan yang berada pada ranking lebih baik.
Memang benar, Harimau Malaya melakar keputusan positif dalam aksi persahabatan, namun, semua itu hanyalah perlawanan ujian dan taktikal serta pendekatan yang digunakan oleh Pan Gon juga berbeza berbanding aksi di Qatar.
Rata-rata peminat bola sepak juga mempertikaikan keputusan jurulatih dari Korea Selatan itu khususnya ketika dia membawa masuk Natxo Insa bagi menggantikan Syamer Kutty Abba biarpun mempunyai beberapa pilihan lain.
Dalam aksi menentang Bahrain, kemasukan Natxo tidak memberikan impak yang diinginkan dengan pemain Johor Darul Ta’zim itu lebih banyak berperanan sebagai pemerhati sahaja di tengah padang.
“Bagi saya bola sepak itu kejam…Kalau tengok awal-awal, kenapa pengadil tidak rujuk VAR ketika bola terkena tangan pertahanan Bahrain dan kita pula kena (gol) saat-saat akhir perlawanan. Memang sakit untuk di terima.
“Keseluruhan permainan Malaysia sangat baik, kecuali seperti semua netizen ulas peranan Natxo. Kita faham, Pan Gon keluarkan Syamer sebab risau dia akan menerima kad kuning kedua, tetapi Natxo gagal berikan apa yang kita inginkan.
“Mungkin sebab dia sudah lama tidak bermain, dia ada pengalaman tetapi semalam tidak menjadi. Natxo banyak situasi dia tidak berikan tekanan kepada lawan,” kata bekas jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah.
Dalam pada itu pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. pekan Ramli berkata, barisan pertahanan Harimau Malaya boleh diberikan markah penuh dalam aksi menentang Bahrain, semalam.
“Barisan pertahanan kita berfungsi dengan baik dan berdisiplin. Pada separuh masa pertama, kita beraksi cukup baik, namun pertukaran pemain yang dibuat Pan Gon tidak memberikan kelebihan buat Harimau Malaya.
“Paling ketara pertukaran pemain di bahagian tengah yang tidak kena dengan percaturan taktikal. Kita tidak nampak sumbangan besar bahagian tengah pada separuh masa kedua, itu yang membuatkan pasukan kita bermasalah,” katanya.