KUALA LUMPUR: Pelakon Shukri Yahya memaklumkan selepas ini akan lebih berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk melakonkan mana-mana adegan dalam drama atau filem yang berpotensi mencetuskan kontroversi.
Kata Syukri, hal itu disebabkan dia enggan kontroversi seperti yang terpalit dengan babak bilik mandi dalam drama Layang Layang Perkahwinan yang dilakonkannya bersama pelakon, Alya Iman berulang.
“Saya rasa bersalah, tapi tak menyesal sebab benda dah jadi.
“Awalnya saya anggap babak itu tidak keterlaluan, tidak menunjukkan keadaan saya tak berbaju, hanya memperlihatkan bahu. Tapi setelah disunting, nampak sensitif.
“Ini bukan pertama kali saya tak berbaju dalam drama, cuma babak seperti ini belum pernah saya lakonkan sebelum ini. Jadi lepas ini saya akan lebih menjaga agar tidak menjentik sensitiviti isteri saya dan masyarakat,” katanya.
Shukri mencetuskan kontroversi selepas babak tersebut yang dirakam di bilik mandi, tular dan mengundang kecaman di media sosial.
Pelakon kacak itu dalam pada itu lega kerana isterinya, Tya Adnan memahami tugasnya sebagai pelakon dan tidak melayan sebarang provokasi berkenaan perkara tersebut.
“Dia okey, tak ada masalah. Dia faham kerja saya.
“Saya sebelum ini sudah maklumkan tentang babak tersebut kepadanya. Dia faham lantas tidak membaca komen netizen atau melayan sebarang video yang dikongsikan di Instagramnya,” jelasnya.