DOHA: Semangat juang yang tinggi dipamerkan Indonesia dan keinginan memburu kemenangan pertama di Piala Asia 2023 berhasil selepas menewaskan Vietnam 1-0 pada aksi kedua Kumpulan D, awal pagi tadi.
Dalam aksi itu,skuad kendalian Shin Tae-yong menampilkan aksi bertenaga apabila menekan pemain Vietnam seawal minit pertama.
Menerusi satu gerakan dari tengah, penyerang Indonesia Sandy Walsh hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-36 namun tandukan beliau berjaya ditepis penjaga gol Vietnam, Philip Nguyen.
Usaha Sang Garuda memburu jaringan awal akhir tiba pada minit ke-42 selepas diberikan sepakan penalti apabila Rafael Struick ditarik Nguyen Thanh Binh dalam kawasan kotak penalti.
Peluang itu mudah disempurnakan kapten Indonesia, Asnawi Mangkualam untuk meletakkan Indonesia mendahului pada babak pertama dan merupakan gol tunggal perlawanan.
Bersambung babak kedua, Vietnam meningkat intensiti permainan dan melancarkan serangan bertali arus namun gagal menembusi benteng kebal dibina Indonesia.
Disebalik kemenangan itu, Indonesia kehilangan Jordi Amat yang mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tidak dapat meneruskan perlawanan setelah bertembung dengan Van Tung Nguyen.
Indonesia kini berada ditangga ketiga dengan mengumpul 3 mata manakala Vietnam ditangga terakhir setelah mengalami dua kekalahan berturut-turut.
Dalam satu lagi aksi kumpulan sama, Iraq mengejutkan Jepun dengan kemenangan 2-1 sekali gus terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.
Pertemuan Indonesia dan Jepun bakal menjadi penentu kepada siapa yang bakal mengiringi Iraq dan aksi terakhir Kumpulan D akan berlangsung pada 24 Januari ini.