Sayang haiwan biar bertempat

Sayang haiwan biar bertempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali melalui kaki lima stesen LRT di Taman M dan TJ, setiap kali itu jugalah saya melihat makanan kucing bersepah.

Sama ada di laluan pejalan kaki dan sudut-sudut tepi tangga menghala ke kaunter masuk tren.

Stesen yang antara tersibuk di ibu kota ini memiliki pemandangan indah dek kehijuan taman dan hutan simpanannya, namun makanan kucing, bekas makanan dan minumannya yang bersepah mencacatkan kesempurnaan itu.

Saya kira dulu tidaklah sebegini gayanya. Sejak dua menjak ini sahaja. Bila ada penceramah di media sosial yang memberitahu manfaat memberi makanan pada haiwan terbiar.

Kawasan yang dulunya bersih bertukar kotor dan tidak lagi indah rupanya.

Pelbagai menu makanan yang ada itu, memang mencacatkan pemandangan. Ada orang yang jenisnya meletakkan sahaja makanan kucing atas lantai.

Tidak kurang juga yang membiarkan nasi bercampur tulang dalam bekas polisterin. Sampai keras dan kering nasinya tidak dijamah haiwan pun ada.

Saya bukan menentang pencinta haiwan tetapi sebelum memberi, fikirlah supaya ehsan anda itu tidak mendatangkan kecacatan pada persekitaran sedia ada.

Realiti yang perlu kita ketahui, bukan semua tempat boleh kita beri makanan haiwan. Janganlah buat sesuka hati dalam niat mencari pahala.

Ada kaedahnya supaya ia tidak menyusahkan pihak yang lain, khususnya operator pembersihan seperti tukang sapu.

Mungkin mereka juga berkira-kira untuk membersihkan sesuatu kawasan. Nak buang takut dimarahi golongan pencinta haiwan. Mahu dibiarkan, makanan berkenaan pasti mencetuskan rasa kurang selesa orang awam seperti saya.

Kalau mahu menzahirkan rasa ehsan pada haiwan terbiar, antara kaedah boleh kita lakukan ialah memberikan makanan pada kuantiti tertentu.

Tunggu hingga haiwan berkenaan habis makan. Dah habis, barulah kita beredar dan bersihkan kawasan kita letak makanan itu tadi.

Bukan mengotorkan tempat yang sejak dinihari lagi sudah dibersihkan dan dimopkan oleh tukang sapu.

Saya kira premis tertentu seperti di stesen LRT atau stesen bas, boleh mengeluarkan garis panduan tertentu yang antara lain mengeluarkan notis pemberian makanan hanya boleh dilakukan di lokasi tertentu.

Boleh juga sediakan bekas makanan di tempat khusus. Kan lebih senang dan teratur. Ada bekas makanan
haiwan yang lebih moden saya lihat di internet, ia hanya akan beroperasi bila haiwan berkenaan datang
dan makan.

Maksudnya kuranglah tempat makan itu bersepah. Begitupun ada juga premis yang melarang terus pemberian makanan untuk haiwan, atas faktor kebersihan.

Sebab mereka tahu implikasi tempat itu kelak bila semua orang bebas memberikan makanan. Budak-budak pun kelak akan ‘pakai’ campak sahaja apa jenis makanan dengan niat nak bagi haiwan makan.

Janganlah kita nak berbuat baik tetapi pada sama mengetepikan hak orang pengguna lain juga. Memang tak patut.

-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya