SAIDINA Abdullah bin Amr bin al-As adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang sangat rapat dengan kehidupan baginda.
Beliau bernama Anas bin Malik bin al-Nadhr bin Dhomdhom bin Zayd bin Harom bin Jundab bin ‘Amir bin Ghanm bin ‘Adiyy bin al-Najjar (nama al-Najjar adalah Taymulloh) bin Tha‘labah bin ‘Amr bin al-Khazraj bin Harithah bin Tha‘labah bin ‘Amr bin ‘Amir bin Harithah bin Umru al-Qoys bin Tha‘labah bin Mazin bin al-Azd bin alGhowth bin Nabt bin Malik bin Zayd bin Kahlan bin Saba bin Yashjub bin Ya‘rub bin Qohton (turut juga disebut Yaqton) bin ‘Aybar (turut juga disebut ‘Amir) bin Shalakh bin Arfakhshadz bin Sam bin Nuh ‘Alayhi al-Salam.
Ibu beliau dikenali dengan panggilan Ummu Sulaym binti Milhan bin Kholid bin Zayd bin Harom bin Jundab bin ‘Amir bin Ghanm bin ‘Adiyy bin al-Najjar.
Ini bermakna Saidina Anas bin Malik mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nabi SAW kerana baginda mempunyai tali kekeluargaan dengan kekeluargaan al-Najjar kerana ibu Saidina Abd al-Muttalib bin Hashim adalah seorang wanita Yathrib iaitu Saidatina Salma binti ‘Amr bin Zayd.
Beliau daripada jurai keturunan ‘Adiyy bin alNajjar iaitu pecahan daripada keturunan al-Khazraj.
KHADAM BERUNTUNG
Saidina Anas adalah khadam Rasulullah SAW. Beliau berkhidmat dengan baginda selama 10 tahun.
Semasa Rasulullah SAW tiba di Madinah al-Munawwarah, Saidina Anas ketika itu baru berusia 10 tahun.
Namun ada juga riwayat menyatakan bahawa umur Saidina Anas ketika itu adalah lapan tahun.
Tokoh sejarah Islam menceritakan ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, ibu Saidina Anas mendapati setiap masyarakat di Madinah membawa hadiah untuk diberi kepada Nabi SAW yang baru sahaja tiba dari Mekah dalam peristiwa Hijrah.
Namun ibu yang mulia ini tidak mempunyai sebarang hadiah yang dapat diberikan kepada Nabi SAW. Lalu beliau pun bertemu Rasulullah SAW dan menyatakan kepada baginda bahawa beliau tidak ada sebarang hadiah disebabkan kemiskinan yang menghambat kehidupannya.
Cuma beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Anas bin Malik. Ibu mulia ini terus menghadiahkan anak kesayangannya untuk menjadi khadam dan pembantu kepada Rasulullah SAW.
Akhirnya Saidina Anas menjadi pembantu baginda selama 10 tahun iaitu sehinggalah baginda wafat.
Saidina Anas berusia 20 tahun ketika Rasulullah SAW wafat.
Saidina Anas sendiri ada menceritakan kisah ini sebagaimana direkodkan di dalam Tarikh Madinah Dimashq 9/342 dan Tahdzib al-Kamal 3/364: “Daripada Sa‘id bin al-Musayyab, beliau berkata: (Saidina) Anas berkata: “Rasulullah SAW tiba di al-Madinah ketika saya berumur lapan tahun. Maka ibu saya telah membawa saya bertemu dengan baginda lantas ibu saya berkata: Wahai Rasulullah. Para lelaki Ansar dan para wanita mereka telah menghadiahkan kepada anda (hadiah-hadiah) melainkan saya.
“Sesungguhnya saya tidak memiliki sebarang hadiah untuk saya hadiahkan kepada anda melainkan anak saya ini. Maka terimalah dia sebagai hadiah daripada saya agar dia dapat membantu anda melakukan sebarang kerja yang difikirkan oleh anda”.
Saidina Anas berkata: “Saya menjadi khadam kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun. Baginda sama sekali tidak pernah memukul saya walaupun sekali, tidak pernah mencela saya dan tidak pernah langsung berwajah masam terhadap saya.”
Saidina Anas sangat beruntung kerana keluarga beliau sering diziarahi Rasulullah SAW. Baginda sering datang ke sebuah telaga milik ayah tiri Saidina Anas bin Malik yang Bernama Saidina Abu Talhah.
Telaga tersebut pula dipanggil Telaga Ha atau Bayroha atau Biroha. Telaga ini berada di dalam kebun kurma milik beliau yang juga dipanggil dengan nama Kebun Bayroha.
Rasulullah SAW pernah masuk ke dalam kebun tersebut, pernah minum air yang sedap yang dicedok daripada Telaga Ha dan baginda pernah makan buah kurma dari kebun milik Saidina Abu Talhah ini.
Nabi SAW juga pernah datang ke rumah Saidatina Ummu Sulaym dan suami beliau Saidina Abu Talhah yang berada tidak jauh dari lokasi Telaga Ha.
Baginda sering menziarahi mereka berdua di rumah tersebut bahkan Baginda juga sering tidur siang (qailullah) di rumah pasangan suami isteri ini.
Semasa Nabi SAW tidur di dalam rumah ini, Saidatina Ummu Sulaym yang merupakan ibu Saidina Anas telah mengumpulkan peluh-peluh yang harum yang terbit daripada tubuh mulia baginda SAW demi beroleh keberkatan.
Ini adalah satu keistimewaan baginda SAW kerana peluh manusia kebiasaannya tidaklah berbau harum.
Namun peluh baginda berbau sangat harum.
TERIMA DOA DARI NABI
Pernah pada satu hari Saidatina Ummu Sulaym bertemu Nabi SAW lalu beliau memohon agar baginda mendoakan kesejahteraan anak lelakinya iaitu Saidina Anas.
Lalu Rasulullah SAW pun berdoa kepada Allah: “Ya Allah. Banyakkanlah hartanya. (Banyakkanlah) anaknya dan masukkanlah dia ke dalam syurga”.
Keberkatan doa Nabi SAW ini begitu bermakna buat Saidina Anas sehingga beliau pernah mengungkapkan betapa mustajabnya doa baginda menerusi ucapan beliau seperti berikut:
“Sesungguhnya saya benar-benar telah melihat yang pertama (iaitu harta yang banyak dan yang kedua(iaitu anak-anak yang ramai). Maka saya mengharapkan yang ketiga (iaitu dimasukkan ke syurga)”.
Al-Imam al-Tirmidzi ada mendatangkan ucapan seorang tabi‘iyy yang bernama Rofi‘ bin Mihron yang turut dikenali dengan panggilan Abu al-‘Aliyaĥ berkenaan kelebihan Saidina Anas seperti berikut: “Beliau (iaitu Saidina Anas bin Malik) telah menjadi khadam kepada baginda selama sepuluh tahun dan Nabi SAW telah mendoakan (kebaikan) buat beliau.
Beliau satu ketika dahulu memiliki satu kebun yang mengeluarkan buah pada setiap tahun sebanyak dua kali (sedangkan kebun orang lain hanya menghasilkan buah sekali sahaja pada setiap setahun).
Satu ketika dahulu di dalam kebun beliau ada (sejenis tumbuhan berbau wangi yang bernama) Royhan yang beliau mendapati bau kasturi (datang) daripada Royhan tersebut (sedangkan Royhan bukanlah berbau kasturi)”.
Al-Imam Muslim pula ada mendatangkan ucapan Saidina Anas berbunyi: “Maka demi Allah. Sesungguhnya harta saya benar-benar banyak dan sesungguhnya anak saya dan anak kepada anak saya benar-benar mencapai angka kira-kira 100 (orang) pada hari ini”.
Al-Imam Ahmad juga ada mendatangkan ucapan Saidina Anas iaitu: “Sebahagian anak-anak saya telah mengkhabarkan kepada saya bahawa sesungguhnya telah dikebumikan daripada anak-anak saya dan anak-anak kepada anak-anak saya lebih daripada 100 (orang)”.
Saidina Anas meninggal dunia pada tahun 92 Hijrah. Ada juga yang berpendapat beliau meninggal dunia pada tahun 93 Hijrah.
Umur Saidina Anas bin Malik sewaktu meninggal dunia adalah lebih 100 tahun. Beliau yang tinggal di Basrah adalah sahabat Nabi SAW yang terakhir yang hidup di Basrah.
-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.