Sungguh tenang dan damai melihat kediaman yang satu ini. Berlatarbelakangkan warna cerah di bahagian dalam, manakala alam semula jadi di bahagian luar, ia tampak begitu serasi.
Pemilik kediaman, Alia Wahadi berkata, konsep rumah ladang moden menjadi pilihannya kerana mempunyai keunikan tersendiri.
“Saya memilih konsep ini untuk menonjolkan rumah ladang moden selain minat pada warna-warna cerah dan semula jadi.
“Bukan itu sahaja, konsep ini juga tidak lapuk dek zaman menjadikan ia terus relevan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Penjagaan mudah
Tambah Alia yang juga pempengaruh media sosial, walaupun dilatari dengan rona dan perabot cerah, ia tidak susah untuk dikendalikan.
“Mudah sahaja, cuma perlu rajin dan selalu bersihkan rumah,” ujarnya.
Kediaman jenis banglo berkeluasan 1,300 kaki persegi itu juga dilengkapi dengan elemen-elemen penting dalam konsep rumah ladang iaitu pintu barn dan pendiang hiasan.
Pendiang sememangnya sinonim bagi konsep rumah ladang yang berasal dari negara barat sebagai pemanas.
Namun, bagi kediaman wanita berusia 34 tahun ini, pendiang hiasan yang diperbuat daripada batu, jubin dan kayu itu dijadikan sebagai ruang simpanan dan rak televisyen.
Menjengah ke bahagian luar pula, dekorasi ringkas kerusi rehat yang dilatari dengan kehijauan alam semula jadi memukau pandangan.
Konsep ruang santai terbuka itu dilengkapkan dengan perabot beralaskan kusyen berwarna putih bagi mengekalkan konsep rumah ladang.