DUNGUN: Ratusan ubur-ubur api yang berwarna biru ditemukan terdampar di Pantai Teluk Bidara, di sini, kelmarin.
Kurator Kanan, Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azwarina Mohd. Azmi Ramasam berkata, ubur-ubur beracun tersebut ditemukan bekas penuntut Universiti Malaysia Terenggganu, Siti Nur Zahirah Kamarudin sebelum menghubungi pihaknya untuk mengesahkan spesies ubur-ubur yang ditemukannya.
“Berdasarkan gambar dan video yang dihantar Nur Zahirah, terdapat ratusan ekor ubur-ubur tersebut di sepanjang pantai berkenaan.
“Meskipun terdapat ratusan hidupan tersebut, namun orang ramai dilihat masih kurang sedar risiko ubur-ubur yang berbahaya tersebut dengan bermain pasir pantai tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, meskipun setakat ini tiada kematian direkodkan bagi kes sengatan ubur-ubur spesies tersebut, namun ia masih boleh mengundang kesakitan dengan beberapa kes telah dirawat hospital sebelum ini.
Dalam pada itu, tambahnya, lebih 30 ekor ubur-ubur api yang masih hidup turut ditemukan di sepanjang pantai dekat UMT, Kuala Nerus pada Khamis dan sampelnya telah dibawa ke RRC untuk kajian.
“Orang ramai yang terjumpa dengan hidupan marin yang meragukan dan merbahaya bolehlah menghubungi pihak berkuasa tempatan, pihak Jabatan Perikanan dan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN