BAITULMUQADDIS: Beberapa rakyat Palestin mengutarakan ketakutan mereka terhadap masa depan di Gaza apabila Israel meningkatkan serangan ke atas penduduk di Khan Younis.
Seorang bapa kepada dua anak yang terpaksa berpindah dari bandar Gaza, Mohammed al-Khaldi memberitahu BBC, dia kehilangan rumah, kedai dan sumber pendapatan.
Katanya, dia tidak lagi mampu menyediakan keperluan hidup yang paling asas untuk anak-anaknya.
“Saya menyalahkan pendudukan Israel atas kehancuran besar ini, tetapi, saya tidak ‘membebaskan’ Hamas daripada tanggungjawab di atas segala yang berlaku,” katanya.
Hamas adalah kumpulan Palestin yang menguruskan Gaza sejak tahun 2007. Sayap ketenteraannya, Briged Izzedine al-Qassam dikatakan mempunyai kira-kira 30,000 ahli sebelum serangan pada 7 Oktober lalu.
Tambah Mohammed, hal yang terburuk yang boleh berlaku ialah kembali ke situasi sebelumnya iaitu peperangan setiap dua atau tiga tahun.
Keadaan sukar sebelum perang berlaku dan ia menjadi bencana sekarang, katanya.
“Harga barang meningkat sepuluh kali ganda dan kebanyakan keperluan asas tidak tersedia. Saya berharap untuk mati setiap hari apabila melihat mata anak-anak dan tidak upaya kerana tidak dapat memberi makan kepada mereka,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Palestin, Naji Mahmoud yang terpaksa berpindah dari bandar Gaza memberitahu, dia menyaksikan serangan Israel yang besar berlaku di utara Gaza dan terpaksa berpindah ke Khan Younis semasa gencatan senjata kemanusiaan selama seminggu pada akhir November lalu.
“Kami rasa tanah bergoncang di bawah kami seperti gempa bumi dan ini berulang hampir setiap petang, bom-bom nampaknya menyasarkan terowong.
“Ketika kami berada di Bandar Gaza, kebanyakan serangan datang dari udara,” katanya kepada BBC.
Lebih 24,900 orang terbunuh di Gaza sejak Israel melancarkan tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, menurut kementerian kesihatan yang dikuasai oleh Hamas.
Serangan Hamas di Israel membunuh kira-kira 1,300 orang, kebanyakan daripadanya warga awam dan membawa pulang 240 tebusan ke Gaza.
Israel mengatakan operasi udara dan daratnya di Gaza bertujuan untuk memusnahkan Hamas.
Majoriti daripada 2.3 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah dan berjuang setiap hari untuk mendapatkan makanan, minuman dan ubat.
Seorang wartawan yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu BBC, sistem keselamatan juga runtuh di Gaza di mana banyak berlaku kes rompakan bersenjata.
“Saya pulang dari kerja saya di Rafah pada larut malam. Saya dihentikan oleh tiga orang yang memakai topeng, mereka membawa pisau dan salah seorang dari mereka membawa pistol.
“Mereka merampas kereta dan apa-apa yang berharga. Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka perasan saya seorang wartawan dan membenarkan saya pergi,” ujarnya.
Seorang penduduk, Mohammed Sheik Khalil berkata, di Rafah, polis bersenjata tidak bertindak menakutkan peniaga yang memonopoli barang dan menaikkan harga dengan cara gila.
“Saya membeli beg gandum bertanda UNRWA (agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin) pada harga AS$100 (RM471.67), 10 kali ganda daripada harga asal.
“Mengapa polis tidak menangkap peniaga yang menjual gandum yang kemungkinan dicuri dari agensi bantuan PBB?.
“Saya tidak dapat mencari susu untuk bayi saya, anak lelaki saya menghidap autism dan tidak menerima rawatan selama berbulan-bulan. Saya tidak dapat menenangkannya dan keadaan kesihatannya merosot,” ujarnya.-BBC