Radhi terkejut kes CEO ditahan SPRM

Radhi terkejut kes CEO ditahan SPRM

RADHI Mat Din (tengah) menerima cenderamata daripada Presiden Majlis Belia Negeri Kedah, Amir Murshidi Samsuddin selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Kedah di Kompleks Belia dan Sukan Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Radhi Mat Din mengakui amat terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu dalam badan induk bola sepak negeri itu. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan negeri bagaimanapun berkata, semua pihak harus memberi ruang kepada segala proses siasatan dijalankan pihak berkuasa. 

Dalam masa sama katanya, KFA sendiri akan melakukan mesyuarat dalam masa terdekat bagi mendalami isu tersebut.

“Kami memang amat terkejut kerana perkara ini antaranya melibatkan individu yang paling bekerja dalam KFA. Secara peribadi, saya memang tak tahu sebelum ini ada siasatan dijalankan. 

“Jadi saya fikir kita kena tunggu dulu laporan lanjut dan beri ruang kepada proses siasatan. Kita tengoklah nanti semua ini hendak menuju ke arah mana. 

“Dalam masa sama, KFA pun nak buat mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berlaku. Mungkin hari ini atau esok untuk kita selami masalah ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Kedah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini, hari ini. 

Semalam akhbar ini melaporkan, seramai empat lelaki termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak direman selama tiga hari kerana disyaki meminta serta menerima rasuah berjumlah lebih RM6 juta, empat tahun lalu. 

Kesemua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah kelmarin dengan siasatan awal menunjukkan wang tersebut telah dimasukkan ke akaun sebuah persatuan bola sepak. 

Wang itu dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air. 

Mengulas lanjut Radhi berkata, setakat sekarang pihaknya masih belum memiliki maklumat yang benar-benar tepat berhubung perkara itu. 

“Seperti saya nyatakan tadi, setakat sekarang kita pun masih belum ada kepastian berhubung perkara itu. Apa yang pasti, selama ini KFA memang sentiasa bekerja keras terutamanya untuk membayar hutang-hutang lama. Sebaiknya, kita tunggu dulu laporan penuh berhubung perkara ini,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya