PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan pas langganan baharu iaitu OKU Smile yang khusus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bagi menikmati tambang percuma bagi seluruh perkhidmatan mereka.
Prasarana berkata, pengaktifan dan langganan pas OKU Smile boleh dibuat bermula esok, bagi membolehkan pengguna OKU menikmati tambang percuma bermula pada 1 Februari ini.
“Pas ini adalah untuk semua pemegang kad konsesi OKU Prasarana yang sedia ada dan pemohon baharu.
“Maklumat berkaitan pas OKU Smile boleh didapati di laman web www.myrapid.com.my atau di platform media sosial Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
“Bagi sebarang pertanyaan, pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL 03-7885 2585; Rapid Penang 04-255 8000 atau Rapid Kuantan 09-5663686/019-3858607,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Prasarana berkata, pengenalan inisiatif tersebut adalah susulan daripada pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 21 Disember lalu iaitu mengenai insentif tambang percuma untuk komuniti OKU bagi semua perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.
Sementara itu, Prasarana berkata, mereka turut akan mengadakan siri jelajah ke beberapa persatuan OKU bagi memberi penerangan berkaitan OKU Smile.
“Kaunter pendaftaran secara bergerak juga akan dibuka bagi memudahkan golongan ini memohon kad OKU Prasarana sepanjang siri jelajah tersebut.
“Tambang percuma ini juga bukti keperihatinan kerajaan Malaysia dan tanggungjawab korporat sosial Prasarana yang cakna terhadap kebajikan masyarakat. Selain itu, ia sebagai galakan kepada komuniti OKU untuk menggunakan pengangkutan awam serta meluaskan kesalinghubungan kepada golongan tersebut,” katanya. –UTUSAN