MOSCOW: Sebuah pesawat pengangkut tentera Russia, IL-76 yang membawa 65 tawanan perang Ukraine terhempas di wilayah Belgorod Barat, bersempadan dengan Ukraine hari ini.
Video yang tidak disahkan dalam media sosial menunjukkan sebuah pesawat besar, kononnya di wilayah Belgorod kelihatan jatuh dari langit sebelum dilihat terhempas dalam bola api.
“Pada sekitar pukul 11 pagi waktu Moscow, sebuah pesawat IL-76 terhempas di wilayah Belgorod semasa penerbangan rutin.
“Di atas kapal terbang itu terdapat 65 anggota tentera Ukraine yang ditangkap dibawa ke wilayah Belgorod untuk pertukaran, enam anak kapal dan tiga pengiring,” kata Kementerian Pertahanan Moscow seperti dilaporkan agensi berita, RIA-Novosti.
AFP tidak dapat mengesahkan dakwaan Russia tersebut dan nasib penumpang tidak jelas.
Kata Gabenor Wilayah Belgorod Barat, Vyacheslav Gladkov dalam Telegram, nahas berlaku di daerah Korochansky, timur laut ibu kota wilayah berkenaan.
“Kini, pasukan penyiasat dan perkhidmatan kecemasan sedang bekerja di tapak. Saya menukar jadual kerja saya dan pergi ke daerah itu,” kata Gladkov.
Tiada reaksi rasmi segera di Kyiv, tetapi media tempatan memetik sumber dalam pasukan pertahanan Ukraine sebagai berkata, angkatan tenteranya menjatuhkan pesawat itu.