THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuka perbicaraan kes Afrika Selatan yang menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
ICJ mendengar hujah Afrika Selatan semalam dan respons Israel terhadap dakwaan itu pada hari ini.
Dalam pemfailan mahkamahnya, Afrika Selatan menyebut kegagalan Israel untuk menyediakan makanan, air, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan penting lain kepada kawasan Palestin.
KEPUTUSAN AKHIR BULAN INI
Badan kehakiman itu dijangka membuat keputusan mengenai langkah kecemasan akhir bulan ini.
Mahkamah tidak akan membuat keputusan pada waktu terdekat ini mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai, malah, prosiding itu boleh mengambil masa bertahun-tahun.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata, keadaan penduduk yang menderita di Gaza memaksa mereka mengambil tindakan mahkamah terhadap Israel.
“Bantahan kami terhadap penyembelihan berterusan penduduk Gaza mendorong kami sebagai sebuah negara untuk mendekati ICJ,” katanya.
Dengan kes berbaur politik yang menarik perhatian global ini, penyokong kedua-dua belah kes itu dikatakan merancang untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan di The Hague.
TUNJUK PERASAAN DI THE HAGUE
Beribu-ribu penunjuk perasaan pro-Israel berarak dalam suhu beku di pusat bandar semalam dengan membawa bendera dan poster Israel dan Belanda dengan imej orang yang diambil tebusan oleh Hamas.
Gabi Patlis, dari Tel Aviv, yang kini menetap di Belanda, berkata amat menyakitkan mendengar Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai.
“Terutama selepas 7 Oktober, kami adalah orang yang diserang,” katanya kepada Reuters pada perhimpunan itu.
Keputusan mahkamah adalah muktamad dan tanpa rayuan tetapi mahkamah tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakannya.
SEDIKIT HALANGAN UNTUK INJUNKSI
Seorang profesor undang-undang antarabangsa yang mempengerusikan jawatan kuasa PBB yang menyiasat konflik Israel dengan Hamas pada 2014, William Schabas, berkata, terdapat sedikit halangan untuk mahkamah mengeluarkan injunksi terhadap Israel.
Beliau memberitahu bahawa Afrika Selatan perlu menunjukkan bahawa terdapat unsur-unsur yang menyokong kesnya untuk mahkamah mengeluarkan perintah, walaupun ini tidak melibatkan keputusan pasti, sama ada pembunuhan beramai-ramai benar-benar berlaku atau tidak .
Afrika Selatan sangat mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza, dan Kongres Kebangsaan Afrika yang mentadbirnya mempunyai sejarah solidariti yang panjang dengan perjuangan Palestin.
Ia melihat persamaan dengan perjuangannya menentang apartheid, dasar pengasingan kaum dan diskriminasi yang dikuatkuasakan oleh kerajaan minoriti kulit putih di Afrika Selatan terhadap majoriti kulit hitam di negara itu, sehingga pilihan raya demokrasi pertama pada 1994.
Di Gaza, lebih 23,350 orang terbunuh, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas, sejak perang bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel selatan.
ISRAEL MENDAKWA TUDUHAN TIDAK BERASAS
Pihak Israel pula menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai sebagai tidak berasas dan menuduh Pretoria memainkan ‘pembela syaitan’ untuk Hamas, kumpulan pejuang Islam Palestin yang sedang melancarkan perang terhadapnya di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata di platform media sosial X: “Saya ingin membuat beberapa perkara dengan jelas: Israel tidak berhasrat untuk menduduki Gaza secara kekal atau memindahkan penduduk awamnya.”
Afrika Selatan dan Israel adalah kedua-dua negara dalam Konvensyen Genosid 1948, yang mewajibkan mereka untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai dan juga untuk mencegah dan menghukumnya.
Perjanjian itu mentakrifkan pembunuhan beramai-ramai sebagai perbuatan yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.
Tentera Israel melancarkan serangan mereka selepas pejuang dari Gaza yang diperintah Hamas melakukan amuk rentas sempadan 7 Oktober lalu di mana Israel mengatakan 1,200 orang terbunuh dan 240 penduduk mereka diculik.
Sejak itu, serangan itu memusnahkan sebahagian besar Semenanjung Gaza yang berpenduduk padat dan hampir kesemua 2.3 juta penduduknya dihalau dari rumah mereka sekurang-kurangnya sekali, menyebabkan malapetaka kemanusiaan.
Pasca-apartheid Afrika Selatan sudah lama mempertahankan perjuangan Palestin, hubungan yang terjalin apabila perjuangan Kongres Kebangsaan Afrika menentang pemerintahan minoriti kulit putih disambut oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin Yasser Arafat.-AGENSI