KUALA TERENGGANU: Seorang pengerusi pertubuhan kebajikan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini bagu kesalahan memalsukan permohonan bantuan persekolahan, empat tahun lalu.
Hakim Mohd. Azhar Othman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Roslilawati Mukhtar, 45, mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di mahkamah itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bekas ketua sayap sebuah parti politik di Terengganu dengan curangnya menggunakan sebagai tulen iaitu satu dokumen senarai nama 100 pelajar asnaf bagi program ‘Back to School’.
Program itu bagaimanapun tidak diadakan dan pelajar terbabit juga tidak menerima sebarang bantuan selain dokumen senarai penerima pula menunjukkan 25 nama yang berulang.
Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen itu kepada Ketengah Holding Sdn. Bhd. bagi mendapatkan bantuan berjumlah RM5,000 yang mana tertuduh mengetahui dokumen berkenaan palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Roslilawati di bangunan Ketengah Holding Sdn. Bhd. di daerah Dungun pada Disember 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakim ketika membacakan keputusan itu berkata, hukuman setimpal wajar dikenakan kerana kesalahan ini boleh menyebabkan ketirisan dana awam yang lebih besar jika tidak dibendung.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda tersebut.