Penduduk Australia halang kapal Israel berlabuh

Penduduk Australia halang kapal Israel berlabuh

POLIS mengarahkan penyembur lada terhadap orang ramai yang menyekat pelabuhan.-REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Pelabuhan Melbourne dijadikan pusat perhimpunan proPalestin di Australia apabila penunjuk perasaan menyasarkan kapal Israel dan kapal yang didakwa mempunyai hubungan dengan negara rejim Zionis itu.

Minggu lalu, berpuluh-puluh penduduk cuba menghalang kapal kontena ZIM Ganges daripada sampai ke Pelabuhan Melbourne dengan polis akhirnya mengarahkan semburan lada kepada mereka yang menghalang laluan ke pelabuhan.

Berpuluh-puluh ditangkap selepas piket dijalankan menyekat akses ke dermaga dan memaksa Terminal Kontena Antarabangsa Victoria (VICT) ditutup.

Pemerhati undang-undang sukarela (MALS) yang mengiringi penunjuk perasaan berkata, mereka dihalang oleh kira-kira 200 polis yang sebahagian daripada mereka menunggang kuda.

Wakil pertubuhan masyarakat Free Palestine Melbourne, Tasnim Mahmoud Sammak berada dalam perhimpunan yang berlangsung selama empat hari berkenaan.

“Saya mempunyai keluarga di Gaza dan mereka tidak mempu­nyai tempat untuk pergi dalam kawasan yang terkepung dan dibom,” katanya.

Seorang artis Palestin yang berpangkalan di Melbourne, Sofia Sabbagh juga berada di sana untuk menunjukkan sokongan.

“Mereka mengepung kami dengan membentuk barisan, menakut-nakutkan kami,” katanya kepada Al Jazeera.

Sofia memberitahu, kumpulan dalam perhimpunan itu mematuhi peraturan bagi mengelak ditangkap.

“Apabila kami berada di tempat awam, polis menolak kami, menarik seorang daripada kami sehingga terjatuh dari kerusi roda dan menolak ramai orang lain serta menyembur lada lebih 20 orang.

“Saya trauma melihat seseorang diseret dan terjatuh dari kerusi rodanya,” tambah Sabbagh.

Pemerhati undang-undang berkata, peserta perhimpunan tidak mengancam keselamatan dan orang ramai hanya melaungkan ‘bebas Palestin’.

Namun, Polis Victoria berkata, penggunaan semburan lada adalah sebagai tindak balas kepada sifat dinamik dan ancaman penunjuk perasaan agresif.

Selepas puluhan ditangkap, kumpulan aktivis dilaporkan turun ke Pantai Sandridge.

Pelabuhan Melbourne mengendalikan kira-kira 8,850 kontena sehari dan merupakan pelabuhan komersial terbesar di Australia.

Protes itu menghentikan ope­rasi dengan berkesan selama hampir empat hari, kata VICT dalam kenyataan akhbar selepas polis menamatkan piket.

Sekumpulan aktivis itu berhimpun secara bergilir-gilir, menyekat pekerja pelabuhan selama enam syif berturut-turut daripada memasuki terminal.–REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya