YANGON: Pakatan tentera etnik minoriti di utara Myanmar mengesahkan bersetuju melakukan gencatan senjata dengan tentera pemerintah menerusi rundingan yang dianjurkan China.
Perkara itu disahkan pemimpin salah satu kumpulan itu, TNLA dengan rundingan turut membabitkan utusan dari China.
“Dalam rundingan yang turut dipermudahcara oleh utusan China, Deng Xi Jin, Perikatan Tiga Saudara bersetuju dengan gencata senjata.
“Dari pihak perikatan, perjanjian adalah untuk tidak melakukan serangan ke atas kem atau bandar musuh manakala tentera pula akan menghentikan serangan udara, pengeboman senjata berat,” katanya.
Kementerian Luar China dalam satu kenyataan hari ini berkata, rundingan damai diadakan di bandar Kunming di China sejak semalam di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk segera menghentikan tembakan dan peperangan.
“Kedua-dua pihak juga berjanji tidak akan membahayakan penduduk di sempadan China.
“China berharap semua pihak yang terlibat di Myanmar akan bersungguh-sungguh melaksanakan perjanjian gencatan senjata yang dicapai dan melaksanakan sekatan maksimum,” kata jurucakap kementerian luar, Mao Ning.
Tentera junta yang menggulingkan kerajaan demokrasi pada 2021, berperang dengan kumpulan pemberontak yang berjuang untuk menamatkan kawalannya ke atas wilayah mereka sejak akhir Oktober.
Keadaan itu menyebabkan keganasan sengit di sepanjang sempadan utara dengan China.
Junta Myanmar bagaimanapun belum memberikan maklum balas ketika dihubungi.
Dua lagi kumpulan dalam perikatan terbabit iaitu Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) dan Tentera Arakan (AA), juga belum mengulas mengenai rundingan berkenaan.-REUTERS