GARA-GARA perkongsian video oleh pelakon, Eyka Farhana baru-baru ini, kebanyakan pad penyegar dijual di farmasi di Malaysia laris bak pisang goreng panas.
Tidak cukup dengan menyerbu premis di pusat beli-belah, pembelian turut rancak dilakukan secara dalam talian.
Rata-rata wanita obses mahu memiliki produk kecantikan itu demi mendapatkan kulit muka halus, berseri, anjal dan bebas cela.
Malah, perbincangan mengenainya masih hangat diperkatakan di platform-platform media sosial hingga kini.
Penggunaannya dikatakan mampu memberikan efek kulit bersinar seperti kaca atau glass skin yang menjadi idaman kaum hawa.
Trend kecantikan dari Korea itu difahamkan mula diperkenalkan sejak tahun lalu dan menjadi ikutan di seluruh dunia.
Kaedah baharu ini memudahkan pengguna mengaplikasi penyegar tanpa perlu dituangkan pada kapas seperti lazim dilakukan, sebaliknya terus diusap ke wajah.
Menariknya, ia juga boleh dijadikan sebagai topeng pada mendapatkan kulit muka halus, berseri, anjal dan bebas cela.
Bahan-bahan digunakan pula bersifat semulajadi dan baik untuk kesihatan kulit antaranya AHA, BHA, tea tree, ceramide serta asid hyaluronic yang berfungsi membuang sel kulit mati, merawat akne, melembab, mengurangkan minyak dan keradangan.
Ketika ini, terdapat pelbagai jenis pad penyegar dijual di pasaran bagi keperluan kulit yang berbeza-beza.
Antara jenama yang popular ialah Medicuba, Anua, Needly, Numbuzin, Mediheal, Skinfood, Abib dan Cosrx.
Ia didatangkan dengan dua permukaan iaitu kasar untuk pengelupasan manakala halus berfungsi menghidratkan kulit wajah.
MANFAAT PAD PENYEGAR:
-Atasi jerawat, minyak berlebihan : Kandungan asid salicylic mengurangkan jerawat, hiperpigmentasi, dan mengatasi keradangan kulit. Ia turut mengatasi minyak berlebihan dan membersihkan pori-pori.
-Melembap : Kulit mendapat kelembapan tambahan, lebih lembut dan bersih.
-Rutin kecantikan cepat : Proses membersihkan wajah lebih cepat berbanding kaedah tradisi.
-Mudah dibawa : Saiznya praktikal dan mudah disimpan di dalam beg tangan. Pengguna tidak perlu lagi membawa botol pembersih wajah, penyegar, pelembap dan pad kapas secara berasingan, sebaliknya hanya boleh menggunakan pad penyegar sahaja.
habis