BAITULMUQADDIS: Benjamin Netanyahu sekali lagi menegaskan Israel harus mengekalkan kawalan keselamatan ke atas semua wilayah Palestin.
Perdana Menteri Israel itu berkata, syarat ini bertentangan dengan penubuhan negara Palestin pada masa depan.
Malah, beliau menentang tekanan terhadap kerajaannya dari Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain.
Netanyahu dan Presiden AS, Joe Biden turut membincangkan masa depan wilayah Palestin Jumaat lalu.
Campur tangan terbaharu PM Israel nampaknya memperdalam jurang perbezaan antara kerajaannya dan AS berhubung tadbir urus Gaza dan Tebing Barat pada masa hadapan apabila konflik Gaza berakhir.
AS percaya negara Palestin mempunyai masa depan bersama Israel, dikenali sebagai penyelesaian dua negara.
Ini adalah penting untuk kestabilan jangka panjang. Namun, White House mengakui kerajaan AS dan Israel melihat perkara ini secara berbeza.
Bercakap kepada pemberita selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan buat kali pertama dalam tempoh hampir sebulan, Biden menegaskan, penyelesaian dua negara masih boleh dilakukan dengan Netanyahu memegang jawatan utama.
“Terdapat beberapa jenis penyelesaian dua negara. Terdapat beberapa negara yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang tidak mempunyai tentera mereka sendiri,” kata Biden.
Bagaimanapun, Netanyahu menegaskan mengenai kedudukan sepanjang karier politiknya dan diulangi awal minggu ini.
Dalam pada itu, rakyat Palestin menceritakan tentang ketakutan untuk masa depan mereka apabila peperangan memusnahkan Gaza.
Malah, serangan mengejut Iran menunjukkan betapa bahayanya rantau ini yang terdedah kepada aktiviti keganasan.
Dalam catatan di X, Netanyahu berkata, Israel mesti mengekalkan kawalan keselamatan ke atas seluruh kawasan di barat Jordan, kawasan yang juga merangkumi wilayah Tebing Barat.
Komen tersebut agak keras selain akan melemahkan harapan supaya krisis Gaza mencapai noktah.
Malah, ia menghalang pemimpin Israel dan Palestin untuk memulakan semula rundingan diplomatik dan memulakan proses damai.
Netanyahu kini kerap berada di luar negara di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dalam negara dan bantahan terhadap nasib kira-kira 130 tebusan yang masih ditahan di dalam Gaza oleh Hamas.
Hamas didakwa membunuh kira-kira 1,300 orang, kebanyakannya orang awam dan menjadikan 240 tebusan dalam serangan mengejut mereka ke atas Israel selatan pada 7 Oktober lalu.
Kelmarin, beribu-ribu penunjuk perasaan termasuk saudara-mara mereka yang masih hilang dan dalam tawanan, berkumpul di Tel Aviv menggesa Netanyahu mencapai gencatan senjata bagi membenarkan tebusan pulang.
Penunjuk perasaan menggesa perjanjian dipersetujui dengan Hamas untuk membebaskan tebusan
Gil Dickmann, yang sepupunya ditangkap pada 7 Oktober lalu merayu supaya Netanyahu membawa tebusan di Gaza kembali.
“Kami tahu bahawa anda boleh menandatangani perjanjian ini dan membawa kemenangan ini kepada semua rakyat Israel. Lakukan saja, Bibi. Lakukan saja. Bawa tebusan pulang,” katanya.
Tentera Israel terus bergerak ke selatan Gaza untuk mencari pegawai tertinggi Hamas, yang dipercayai Israel bersembunyi di Khan Younis, bandar kedua terbesar di Gaza.
Penduduk tempatan melaporkan pertempuran sengit di kawasan itu sejak beberapa hari kebelakangan ini, termasuk di sekitar hospital.
Israel berkata, mereka menyerbu kawasan tentera dan menemukan bahan letupan bawah tanah.
Pegawai dari Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata, seramai 165 orang terbunuh di wilayah itu dalam tempoh 24 jam yang lalu dan jumlah yang terbunuh secara keseluruhan sejak konflik bermula menghampiri 25,000.-BBC